Ahad, 18 Ogos 2019 | 8:57am
Daniil Medvedev dari Russia melakukan servis kencang ketika menentang Novak Djokovic di separuh akhir Master Cincinnati. - Foto AFP

Medvedev singkir Djokovic di separuh akhir

CINCINNATI: Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic tersingkir di separuh akhir Masters Cincinnati selepas tewas kepada pilihan keenam dari Russia Daniil Medvedev, 3-6, 6-3, 6-3 .

Medvedev, yang kini mendahului ATP dengan 30 kemenangan di gelanggang permukaan keras musim ini, akan berdepan pemain Belgium David Goffin yang menewaskan Richard Gasquet 6-3, 6-4, untuk kejuaraan.

Kedua-dua pemain, juara bertahan Djokovic dan Medvedev mara ke separuh akhir tanpa tercicir sebarang set di kejohanan ini.


Novak Djokovic (kiri) mengucapkan tahniah kepada Daniil Medvedev sejurus tamat perlawanan separuh akhir Masters Cincinnati. - Foto AFP

Tetapi Medvedev berjaya mara ke final Masters keduanya dalam tempoh lapan hari selepas tewas kepada Rafael Nadal di Montreal Ahad lalu.

Minggu sebelum itu, pemain 23 tahun itu turut beraksi di pentas final di Washington, tetapi tewas kepada Nick Kyrgios.

Djokovic tampak seperti mampu mengawal permainan tetapi hilang punca apabila Medvedev menggandakan asakan di set kedua.

“Saya tidak tahu bagaimana saya menukar situasi, saya kepenatan selepas set pertama dan saya fikir mungkin tidak dapat mengikut rentak,” kata Medvedev.

“Tetapi mempunyai momentum di set kedua dan penonton memberikan saya tenaga.” – AFP

 

 

452 dibaca
Berita Harian X