Jumaat, 9 Ogos 2019 | 7:14pm
Pemain squash negara, Aifa Azman menentang pemain Mesir, H.E Hammamy pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuash Negara, Bukit Jalil. - Foto Aziah Azmee

Mesir terlalu unggul buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Skuad skuasy remaja negara sekali lagi kecundang dalam final Kejohanan Skuasy Remaja Berpasukan Dunia dan kali ini tewas 0-2 di tangan juara bertahan Mesir yang merekodkan kejuaraan ketujuh berturut-turut sejak 2007 di sini, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil itu, Aifa Azman memulakan saingan pasukan negara dengan langkah positif, apabila memenangi set pertama dengan 11-6 ke atas lawannya Hania El Hammamy sebelum seterunya mengubah corak permainan.

Aifa kemudian tewas 11-6, 11-9, 11-3 pada set seterusnya. Ini adalah kali keempat skuad negara tewas di final.

"Saya sudah bermain sebaik mungkin. Pada set pertama, saya menang mudah tetapi selepas itu dia menukar corak permainan dan saya cuba meneruskan corak permainan laju tetapi permainannya lebih baik hari ini," kata Aifa yang bermain dalam situasi sakit di bahagian kaki kanannya.

Perjuangan Aifa cuba dibalas rakan sepasukan, Noor Ainaa Amani Ampandi pada perlawanan kedua namun kekuatan dan pengalaman Farida Mohamed jelas menguasai gelanggang dan wakil negara tewas 11-9, 8-11, 4-11, 11-9, 11-4.

"Ainaa juga bermain dengan baik dan mahukan kemenangan namun malangnya tidak berhasil," kata Aifa.

"Saya dan Ainaa sudah melakukan yang terbaik dan secara keseluruhan, satu keputusan yang masih baik buat kami. Kami akan kembali lagi pada dua tahun akan datang dan cuba mendapatkan gelaran itu semula."

Sementara itu, Ainaa yang kali pertama memasuki kejohanan remaja dunia dan final sulungnya di sini berkata: " Aifa bermain dengan baik. Saya memasuki gelanggang dengan inginkan kemenangan.

"Pada set pertama nampak kekok kerana saya gementar. Bagaimanapun, saya bangkit pada set kedua dan ketiga. Keseluruhannya, saya sudah bermain dengan baik dan gembira dengan prestasi ini."

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Hong Kong dan England.

574 dibaca
Berita Harian X