Rabu, 31 Julai 2019 | 11:11pm
PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia dipaksa bekerja keras, Soniia idam kejutan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia cemas sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.

Juara Terbuka Taiwan 2018 itu nyaris ditunjukkan jalan keluar di pusingan awal sebelum dia bangkit untuk melakar kemenangan 21-23, 11-21, 21-5 ke atas pilihan kelapan dari India, Sameer Verma.

Dia yang mencipta sensasi apabila mengejutkan juara Olimpik Rio 2016, Chen Long pada saingan Terbuka Indonesia, dua minggu lalu akan berdepan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah tidak rela menyerah kalah sebelum melawan apabila membuat perhitungan dengan pemain nombor enam dunia, He Bing Jiao dari China pada aksi pusingan kedua, esok.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk dia melakar kejutan seperti mana yang pernah dilakukan rakan senegara, Goh Jin Wei.

Jin Wei pernah dua kali melakar kemenangan ke atas Bing Jiao dalam lima pertemuan antara mereka iaitu pada saingan Piala Uber 2018 dan Masters Malaysia 2019.

Soniia, berkata dia akan melakukan analisis menerusi rakaman video terhadap lawannya itu bagi membolehkan dia mencari formula terbaik untuk mengatasinya.

"Saya tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini, jadi ini adalah kali pertama. Saya akan menyaksikan rakaman video perlawanannya sebelum ini dan buat persiapan.

"Saya akan berikan aksi terbaik dan berjuang habis-habisan," kata Soniia kepada BH Sukan.

Terdahulu, Soniia mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan pemain tuan rumah, Supanida Katethong 11-21, 21-14, 21-19 manakala Bing Jiao mengatasi rakan senegara, Li Xue Rui 22-20, 21-14.

Sementara itu, nasib berbeza dialami pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama.

Daren terpaksa akur apabila tewas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long 13-21, 16-21.Peng Soon-Liu Ying yang cemerlang apabila mara sehingga separuh akhir dua kejohanan sebelum ini - Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun - tunduk di tangan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 18-21, 21-18, 17-21.

2055 dibaca
Berita Harian X