Rabu, 24 Julai 2019 | 5:20pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Soniia tumbangkan bekas juara Olimpik

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah menyelamatkan maruah kem skuad badminton negara pada hari kedua saingan Terbuka Jepun apabila dia berjaya mengesahkan slot ke pusingan kedua, hari ini.

Lebih manis, anak didik Datuk Tey Seu Bock itu melakar kemenangan ke atas bekas juara Olimpik London 2012, Li Xue Rui dari China, 21-18, 19-21, 21-17 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung selama 53 minit.

Soniia menjadi satu-satunya pemain yang berjaya merakam kemenangan selepas wakil negara yang lain ditunjukkan jalan pada hari kedua saingan di Tokyo itu.

"Saya fikir, kami berdua bermain habis-habisan dan lawan saya juga bermain dengan baik. Mungkin, tuah sedikit memihak kepada saya untuk mencatat kemenangan.

"Saya gembira dapat melepasi pusingan pertama. Untuk perlawanan seterusnya, saya berikan yang terbaik," kata Soniia yang akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Chin Yu Fei bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, empat lagi wakil negara yang beraksi hari ini terpaksa akur apabila tewas di tangan lawan masing-masing di pusingan pertama termasuklah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang yang mencuri tumpuan ketika menumbangkan bekas juara Olimpik Rio 2016, Chen Long ketika pusingan kedua Terbuka Indonesia, minggu lalu tewasa kepada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 19-21, 21-19, 17-21.

Turut mengalami nasib sama ialah beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta dua beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Arif Latif-Nur Azryn Ayub.

3636 dibaca
Berita Harian X