Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:54pm
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - NSTP/Owee Ah Chun

Ketepi ego cari pengganti Chong wei

 

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan perlu mengetepikan ego masing-masing bagi membentuk satu kombinasi yang mampu membantu meningkatkan kualiti barisan pemain perseorangan lelaki negara.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria percaya kepakaran kedua-dua legenda itu sebagai jurulatih mampu mempercepatkan proses mencari pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei.

Katanya, ia termasuklah bagi meningkatkan prestasi Lee Zii Jia yang menjadi taruhan membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Biarpun kita buat keputusan kini Hendrawan melatih Zii Jia namun Misbun masih lagi ketua jurulatih perseorangan lelaki. Hendrawan masih perlu melapor kepada Misbun dan dia sedar perkara itu.

"Apa yang mereka perlu lakukan adalah bekerjasama antara satu sama lain. Ketepikan ego masing-masing...sukar sebenarnya kita mahu lihat ada kombinasi seperti ini yang menggabungkan legenda badminton Malaysia dan Indonesia," kata Norza kepada BH Sukan.

Menerusi struktur kejurulatihan baharu, Hendrawan diberi tanggungjawab membimbing tiga pemain perseorangan lelaki utama negara iaitu Zii Jia, Cheam June Wei, Soong Joo Ven selain bintang muda meningkat naik, Lim Chong King.

Misbun pula diberi peranan melatih pemain muda iaitu bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Tan Jia Wei dan Ng Tze Yong.

Mengulas mengenai pencapaian Zii Jia yang berjaya mengejutkan juara Olimpik 2016, Chen Long ketika pusingan kedua Terbuka Indonesia sebelum terkandas di suku akhir selepas tewas di tangan Anders Antonsen dari Denmark, semalam, Norza berkata ia membuktikan masih banyak perlu diperbaiki pemain berusia 21 tahun itu terutama daripada aspek mental dan fizikal.

"Dia bermain selama 88 minit dengan Chen Long dan dia nampak masih keletihan ketika aksi suku akhir. Saya percaya dia boleh belajar sesuatu daripada situasi seperti ini dan lebih penting dia tahu itulah cabaran akan dihadapinya bermain di peringkat tertinggi.

"Apa pun, saya bangga dengan kemenangan Zii Jia ke atas Chen Long yang juga juara dunia dan Olimpik. Namun, nasihat saya kepada dia agar kekal merendah diri dan terus bekerja keras bagi mewujudkan konsistensi.

"Saya percaya dia di landasan tepat dan sasarannya untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada hujung tahun ini mampu dicapai," kata Norza.

Berita Harian X