Sabtu, 20 Julai 2019 | 1:14pm
Lee Zii Jia mengakui dirinya masih lemah dari aspek fizikal. - Foto AFP

Zii Jia akui kurang cergas punca kekalahan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dirinya masih lemah dari aspek fizikal yang menjurus kepada kekalahannya di tangan pemain Denmark, Anders Antonsen pada aksi suku akhir Terbuka Indonesia, semalam.

Zii Jia, 21, berkata dia tidak sempat pulih selepas mengharungi perlawanan sukar ketika menumbangkan juara dunia dan Olimpik, Chen Long dari China pada pusingan kedua, kelmarin yang menyaksikan ia berlangsung selama 88 minit.

"Disebabkan perlawanan sukar yang saya harungi ketika berdepan Chen Long, memang boleh nampak saya tidak pulih sepenuhnya lagi dalam perlawanan dengan Antonsen. Ini satu masalah yang saya boleh nampak dalam kejohanan ini.

"Saya perlu menguatkan lagi fizikal saya. Walaupun saya kalah semalam namun saya lihat ia sebagai proses untuk meningkat, sekurang-kurangnya kita nampak bahagian mana yang ada masalah dan mana yang dipertingkatkan lagi.

"Jadi, saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, saya dapat berehat dengan baik dan membuat persiapan untuk menghadapi Terbuka Jepun pula," kata Zii Jia yang ditunjukkan jalan keluar oleh Antonsen selepas tewas 16-21, 11-21 dalam tempoh 49 minit.

Pemain ranking ke-16 dunia itu akan berlepas ke Tokyo bagi menghadapi Terbuka Jepun yang bermula Selasa ini dan menyaksikan dia dijadual memulakan kempen menentang pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi di pusingan awal.

Bagaimanapun, Shi Yuqi dijangka menarik diri daripada aksi di Tokyo selepas mengalami kecederaan buku lali yang serius ketika beraksi di Terbuka Indonesia yang menyaksikan dia menarik diri ketika set pertama perlawanan pusingan kedua menentang Antonsen.

Situasi itu bakal menyaksikan Zii Jia kemungkinan bertemu pemain yang diletakkan daripada senarai simpanan untuk beraksi di Terbuka Jepun.

1604 dibaca
Berita Harian X