Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:54pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tewas di tangan Anders Antonsen dari Denmark. - Foto AFP

Zii Jia tumbang, beregu campuran mara Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Selepas cemerlang menumbangkan bekas juara dunia dan Olimpik, semalam, perjuangan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Terbuka Indonesia tidak bertahan lama apabila ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu terpaksa akur apabila tewas di tangan Anders Antonsen dari Denmark 16-21, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Istora di Jakarta.

Zii Jia pada awalnya diramal mampu melangkah ke separuh akhir selepas kejayaannya mencipta kejutan menewaskan Chen Long 21-19, 19-21, 22-20 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 88 minit.

Bagaimanapun, Antonsen tampak lebih yakin untuk mengesahkan pertemuannya dengan pemain Hong Kong, Wong Wing Ki di separuh akhir, esok.

Ia adalah kekalahan kedua Zii Jia di tangan Antonsen selepas turut tewas kepada lawan itu pada saingan Masters Indonesia, Februari lalu.

Bagaimanapun, kem badminton skuad negara sebelum itu menerima perkhabaran gembira apabila beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya mara ke separuh akhir.

Mereka menang ke atas pasangan England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 21-15, 14-21, 21-15 dan akan membuat perhitungan dengan pilihan pertama kejohanan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong bagi perebutan tempat ke final, esok.

1897 dibaca
Berita Harian X