Jumaat, 19 Julai 2019 | 10:22pm
Ng Eain Yow. - Foto Asyraf Hamzah

Eain Yow, Sivasangari mara separuh akhir skuasy kebangsaan

KUALA LUMPUR: Hasrat Ng Eain Yow untuk berhadapan ‘musuh tradisi’ Ivan Yuen di pentas akhir sekali gus menebus kekalahan lalu, hampir tercapai apabila layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan, di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Selaku pilihan utama, Eain Yow tekad mahu meraih gelaran juara pertamanya pada kejohanan yang berlangsung di Arena Skuasy Nicol David selepas dengan mudah mengenepikan lawannya Siow Yee Xian, 11-8, 11-6, 11-6.

"Saya yakin (untuk menang) walaupun Ivan adalah lawan yang sukar," katanya.

Bakal bertemu Addeen Idrakie esok yang turut dianggapnya sebagai pencabar terkuat, pemain berusia 21 tahun itu bagaimanapun tidak berasa tertekan.

"Tiada tekanan, kerana saya hanya fokus satu perlawanan pada satu masa," katanya.

Pemain di ranking ke-38 dunia itu, berkata beliau banyak belajar dari kesilapan terutama ketika tewas pada Terbuka British baru-baru ini.

"Itu kekalahan paling teruk saya dan ia memberi pengalaman yang sangat berguna. Ia sangat memberi motivasi terutama untuk saya meningkatkan kecergasan," katanya.

Terdahulu, Addeen yang turun selaku pemain pilihan 3/4, menghadapi saingan sengit sebelum berjaya menundukkan Ong Sai Hung dengan keputusan 11-8, 9-11, 11-3, 11-4.

Juara bertahan, Ivan bakal bertemu Darren Rahul Pragasm selepas menewaskan Ryan Pasqual 12-10, 11-5, 11-6.


S Sivasangari. - Foto Hafiz Sohaimi

Bagi kategori wanita, juara bertahan S Sivasangari mara ke separuh akhir dengan menewaskan Noor Aina Amani Ampandi dengan 11-8, 11-9, 11-5.

Pemain pilihan kedua itu akan bertemu Rachel Arnorld yang sebelum itu menewaskan Aifa Azman 11-9, 11-6, 11-5.

Pilihan utama, Low Wee Wern pula akan bertemu Chen Yiwen di gelanggang separuh akhir selepas menewaskan Lai Wen Li 11-4, 12-10, 11-5.

KEPUTUSAN SUKU AKHIR

LELAKI:

[2] Ivan Yuen mn [5/8] Ryan Pasqual 12-10, 11-5, 11-6

[5/8] Darren Rahul Pragasm mn [17/21] Sanjay Jeeva 11-6, 11-6, 11-5

[3/4] Addeen Idrakie mn [5/8] Ong Sai Hung 11-8, 9-11, 11-3, 11-4

[1] Ng Eain Yow mn [5/8] Siow Yee Xian 11-8, 11-6, 11-6

WANITA:

[2] S. Sivasangari mn [5/8] Noor Ainaa Amani Ampandi 11-8, 11-9, 11-5

[3/4] Rachel Mae Arnold mn [5/8] Aifa Azman 11-9, 11-6, 11-5

[3/4] Chan Yiwen mn [5/8] Ooi Kah Yan 11-8, 13-11, 11-2

[1] Low Wee Wern mn [5/8] Lai Wen Li 11-4, 12-10, 11-5

-- BERNAMA

Berita Harian X