Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:46am
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Belum masa raikan kejayaan - Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan belum masa untuk dia meraikan kejayaan biarpun melakar kejutan terbesar dalam kerjayanya dengan menewaskan juara Olimpik dan dunia, Chen Long.

Terdahulu, pemain berusia 21 tahun itu cemerlang dengan menyingkirkan bintang sensasi China berkenaan 21-16, 19-21, 22-20 dalam tempoh 88 minit pada aksi pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta, malam tadi.

Dia yang mendapat bimbingan ketua jurulatih Datuk Misbun Sidek akan berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen bagi perebutan tempat ke separuh akhir yang dijangka berlangsung, esok.

“Pertama sekali saya sangat gembira kerana saya berjaya mencipta kejutan ke atas bekas juara Olimpik yang juga salah seorang pemain kegemaran saya. Saya benar-benar tidak jangka mampu menewaskannya hari ini.

“Saya hanya mahu memberikan aksi terbaik dan gembira dengan prestasi saya. Namun, esok (Jumaat) masih ada satu lagi perlawanan, jadi saya fikir belum masa untuk meraikan kejayaan,” kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Juara Terbuka Taiwan 2018 itu berharap dia mampu menghadirkan satu lagi berita gembira buat peminat badminton negara apabila turun beraksi dalam perlawanan suku akhir nanti.

“Saya mahu berehat secukupnya dan diharapkan mampu pulih untuk perlawanan esok. Saya juga harap dapat memberikan berita gembira kepada semua orang sekali lagi.

“Saya berjanji akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan suku akhir,” kata Zii Jia.

Bagaimanapun, rekod pertemuan Zii Jia dengan Antonsen tidak memihak kepada pemain negara itu apabila dia tewas di tangan lawan berkenaan ketika saingan Masters Indonesia, Februari lalu.

Namun, kejayaan menumbangkan Chen Long yang juga pemain nombor empat dunia seharusnya menjadi tonik buat Zii Jia untuk melangkah lebih jauh pada saingan Terbuka Indonesia kali ini.

 

 

Berita Harian X