Khamis, 18 Julai 2019 | 9:18pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia cipta kejutan terbesar di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melakar kejutan terbesar dalam kerjayanya apabila menumbangkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China dalam pusingan kedua Terbuka Indonesia di Jakarta, sebentar tadi.

Zii Jia mempamerkan prestasi yang menakjubkan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek apabila mengatasi lawannya itu yang menghuni ranking nombor empat dunia 21-16, 19-21, 22-20 dalam tempoh 88 minit sekali gus mara ke suku akhir.

Ia adalah kali pertama pemain berusia 21 tahun itu berjaya mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 yang menghimpunkan semua pemain terbaik dunia.

Peluang juara Terbuka Taiwan 2018 itu untuk melangkah lebih jauh tampak cerah apabila dia bakal berdepan pemain Denmark, Anders Antonsen bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Antonsen mendapat kemenangan percuma dalam aksi pusingan kedua selepas pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi menarik diri di set pertama perlawanan.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Jepun yang juga pilihan ketiga kejohanan, Nozomi Okuhara 7-21, 16-21.

Ia adalah kekalahan keenam dialami Soniia di tangan Okuhara.

Nasib sama turut dialami beregu wanita nombor satu negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang terpaksa akur apabila tewas di tangan pemenang emas Olimpik Rio 2016, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun 13-21, 12-21.

4654 dibaca
Berita Harian X