Rabu, 17 Julai 2019 | 5:50pm
PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto Syarafiq Abd Samad

Impian Zii Jia jumpa Chen Long termakbul

KUALA LUMPUR: Penantian pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk berentap dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long akhirnya tercapai.

Esok, beliau akan membuat perhitungan dengan bintang sensasi China berkenaan dalam aksi pusingan kedua badminton Terbuka Indonesia di Jakarta.

Terdahulu, Zii Jia, mengesahkan kemaraan ke kelompok 16 terbaik selepas menewaskan pemain Thailand, Khosit Phetpradab 21-14, 21-13, hari ini, manakala Chen Long mengatasi Tommy Sugiarto dari Indonesia, 22-20, 14-21, 21-17.

“Ia kemenangan yang baik hari ini. Keadaan angin di gelanggang sangat kuat dan sukar untuk saya mengawal tetapi saya harap boleh menyesuaikan diri secepat mungkin kerana esok saya akan bertemu pemain nombor empat dunia, Chen Long.

“Saya sudah lama menunggu untuk menentang dia dan akhirnya ia menjadi kenyataan. Saya sangat teruja, saya harap dapat belajar sesuatu dan memberi cabaran sengit kepada pemenang emas Olimpik ini.

“Diharapkan, saya boleh mendapat keputusan yang baik dan ada berita yang menggembirakan,” kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah turut mara ke pusingan kedua selepas mengatasi Cai Yan Yan dari China 21–8, 21-17.

Dia yang menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam acara itu pada kejohanan kali ini akan bertemu pemain nombor dua dunia dari Jepun, Nozomi Okuhara bagi perebutan tempat ke suku akhir.

2363 dibaca
Berita Harian X