Ahad, 7 Julai 2019 | 8:34am
PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer (kanan) mudah melangkah ke peringkat 16 terbaik selepas menyingkirkan pemain Perancis, Lucas Pouille 7-5, 6-2, 7-6 (7/4). - Foto AFP

Federer, Nadal tiada masalah melangkah

LONDON: Juara lapan kali perseorangan Wimbledon, Roger Federer merakam satu lagi kejayaan apabila mara tanpa masalah ke peringkat 16 terbaik, semalam.

Federer mencatat rekod kemenangan ke-350 di Grand Slam apabila menang 7-5, 6-2, 7-6 (7/4) mengatasi pemain Perancis, Lucas Pouille.

"Ia angka yang menarik untuk dimenangi. Saya gembira sepanjang bertarung di Grand Slam,” kata Federer, yang akan berdepan pemain Itali, Matteo Berrettini.

"Ia amat menarik dapat memenangi perlawanan sebanyak itu.”

Terdahulu, pencabar utamanya, juara dua kali Wimbledon, Rafael Nadal turut melangkah apabila mudah mengatasi pemain veteran Perancis, Jo-Wilfried Tsonga 6-2, 6-3, 6-2.

Dalam pada itu, pemain wanita, Ashleigh Barty, turut mara buat julung kali manakala juara tujuh kali, Serena Williams mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan pemain Jerman, Julia Goerges 6-3, 6-4

Serena juga mara ke pusingan kedua menerusi beregu campuran berpasangan julung kali dengan Andy Murray yang menewaskan gandingan Andreas Mies (Jerman) Alexa Guarachi (Chile) 6-4, 6-1, semalam.

Nadal dalam pada itu nyata gembira melepasi asakan Tsonga dan berjabat tangan dengan mesra di hujung saingan berbanding ketika menewaskan pemain panas baran Australia, Nick Kyrgios dalam saingan terdahulu.

"Saya sangat gembira, saya beraksi melawan pemain hebat dari mula hingga tamat,” kata Nadal.

Nadal bakal berdepan pemain Portugal, Joao Sousa yang mara selepas menyekat langkah pemain tuan rumah, Dan Evans dengan lima set.– AFP

Keputusan semalam:

Roger Federer (SUI) mn  Lucas Pouille (FRA) 7-5, 6-2, 7-6 (7/4)

Andy Murray/Serena Williams (GBR/USA) mn Andreas Mies/Alexa Guarachi (GER/CHI) 6-4 6-1

Rafael Nadal (ESP) mn Jo-Wilfried Tsonga (FRA) 6-2, 6-3, 6-2

Serena Williams (USA) mn Julia Goerges (GER) 6-3, 6-4

Ashleigh Barty (AUS) mn Harriet Dart (GBR) 6-1, 6-1

 

 

324 dibaca
Berita Harian X