Khamis, 13 Jun 2019 | 1:57pm
Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. Chong Wei kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis pada usia 37 tahun. - Foto BERNAMA

KBS lantik Chong Wei CDM ke Olimpik Tokyo

PUTRAJAYA: “Terima kasih Datuk Lee Chong Wei..”

Itu kata-kata terakhir diungkapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menutup bicaranya pada sidang media khas pengumuman persaraan legenda badminton negara itu sebentar tadi.

"Datuk Lee Chong Wei adalah wira sejati kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun akan bersatu hati apabila melihat beliau beraksi di pentas antarabangsa," kata Syed Saddiq.

"Untuk kita mencari satu lagi figura atau idola seperti Chong Wei adalah sukar kerana ia adalah sekali dalam seumur hidup. Seluruh rakyat Malaysia dan saya sendiri sangat beruntung kerana mempunyai Chong Wei.

"Walaupun beliau pilih untuk bersara tetapi roh perjuangannya akan terus meresapi kita semua malah semangat juang tingginya juga nyata membakar semangat seluruh rakyat Malaysia bukan saja bagi sukan badminton.

"Kami akan bagi sokongan padu kepadanya kerana beliau adalah pejuang sejati," katanya.

Dalam pada itu sebagai menghargai jasa Chong Wei selama 19 tahun untuk negara, Syed Saddiq turut mengumumkan pelantikan legenda berusia 37 tahun itu sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selepas bercakap dengan Chong Wei kami juga memutuskan untuk melantiknya sebagai Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo kerana kami tidak menjumpai calon lebih baik daripadanya yang telah menjadi inspirasi kita semua selama ini," katanya.

Chong Wei juga dilihat tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika sidang media khas sempena pengumuman persaraannya itu.

Chong Wei yang 19 tahun beraksi untuk negara pada mulanya dilihat tenang namun tidak dapat mengawal perasaan apabila mula mengucapkan terima kasih kepada tenaga sokongan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selain cuba ditenangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ada juga wartawan yang menjerit dengan sahutan 'ayuh sang juara'.

Bagaimanapun, Chong Wei tidak dapat menyambung ucapannya dan hanya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia sebelum sidang media bersambung dengan sesi soal jawab.

1346 dibaca
Berita Harian X