Selasa, 4 Jun 2019 | 4:15pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto NSTP

Zii Jia azam sekali lagi kejutkan Verma

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu membuktikan kemenangannya ke atas Sameer Verma dari India pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China, dua minggu lalu bukan sekadar nasib.

Zii Jia, 21, akan bertemu Verma sekali lagi apabila kedua-dua pemain membuat perhitungan pada aksi pusingan pertama Terbuka Australia di Sydney, esok.

Ketika di Nanning, Zii Jia yang dianggap sebagai bintang masa depan negara, melakar kejutan ke atas Verma yang menghuni ranking ke-12 apabila dia menang 21-13, 21-15 sekali gus menyumbangkan mata dan membantu skuad negara mara ke suku akhir.

"Ini akan menjadi pertemuan kedua saya dengan dia (Verma). Kali ini, saya harap boleh mengulangi kemenangan ke atasnya seperti saya lakukan pada Piala Sudirman.

"Saya sedar ia akan menjadi perlawanan berbeza untuk kami tetapi saya sudah bersedia. Saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai sasaran dalam kejohanan ini sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan," kata juara Terbuka Taiwan 2018 itu.

Laluan tampak cerah buat Zii Jia ke suku akhir pada saingan kali ini dengan dia bakal berdepan ujian sebenar apabila dijangka bertemu pilihan keempat dari Jepun, Kenta Nishimoto.

Sekiranya mara ke separuh akhir, Zii Jia dijangka bertemu pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 yang juga pilihan kedua kejohanan, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia.

"Seperti semua tahu, ini adalah tempoh pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan semua pemain termasuk pemain utama mengejar mata ke Olimpik. 

"Jadi, saya perlu jangkakan setiap kejohanan itu pastinya sukar. Saya boleh bertemu dengan mana-mana pemain utama dunia. Setiap pusingan itu akan menjadi sukar," katanya.

Berita Harian X