Sabtu, 1 Jun 2019 | 4:58pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. - Foto Luqman Hakim Zubir

Jin Wei lupakan kesakitan

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tetap akan beraksi pada saingan Terbuka Australia di Sydney bermula Selasa ini biarpun masih belum cergas sepenuhnya.

Ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock berkata, walaupun sedar anak didiknya itu tidak mampu beraksi pada tahap terbaik tetapi mereka tidak punya pilihan demi mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia dilaporkan mengalami masalah kesihatan berkaitan perut yang memerlukan dia menjalani rawatan.

"Sakit dialaminya itu tidak menentu, sekejap OK sekejap datang balik. Doktor pun tidak dapat memberitahu berapa lama tempoh untuk ia sembuh sepenuhnya.

"Sebab itu, saya perlu buat keputusan ini (tetap membenarkan Jin Wei beraksi) bagi membolehkan Jin Wei mengumpul mata ke Olimpik. Kita tidak boleh membazirkan peluang yang ada.

"Saya tahu dia tidak boleh beraksi 100 peratus tetapi bagi saya selagi dia boleh tunjukkan permainan yang baik, ia sudah cukup. Apa pun, saya akan terus memantau situasinya," kata Seu Bock ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara.

Pada saingan di Sydney, Jin Wei diundi bertemu rakan senegara, Soniia Cheah pada pusingan pertama kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun turut disenaraikan dalam skuad negara pada kempen Piala Sudirman 2019 dan dia diturunkan ketika menentang India dalam aksi peringkat kumpulan tetapi tewas kepada P V Sindhu.

"Ketika itu semua orang tahu dia ada masalah kesihatan dan tidak boleh beraksi pada tahap terbaik. Tujuan saya bawa dia adalah bagi mengumpul mata.

"Saya sebenarnya terperanjat dia boleh beraksi dengan agak baik berdepan Sindhu cuma dia gagal untuk mengekalkan momentum dalam perlawanan itu," kata Seu Bock.

 

 

Berita Harian X