Rabu, 29 Mei 2019 | 5:52pm
PEMAIN badminton negara, Lee Zii Jia ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

Dua tahun lagi saya mengaum - Zii Jia

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia minta diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menghasilkan kejayaan secara kosnsisten di pentas antarabangsa.

Zii Jia, 21, berkata untuk permulaan dia meletakkan sasaran berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

Ketika ini, pemain berasal dari Alor Setar, Kedah itu berada di kedudukan ke-20 dunia.

“Apa yang saya perlukan sekarang adalah pengalaman, saya perlu menyertai lebih banyak kejohanan. Kalau ikutkan, standard sudah tidak jauh dengan pemain utama lain tetapi saya masih kurang daripada aspek pengalaman.

“Saya percaya jika saya boleh teruskan meningkatkan prestasi, saya boleh menghasilkan keputusan lebih baik dalam acara perseorangan lelaki. Sekurang-kurangnya bagi saya satu atau dua tahun lagi,” katanya.

Zii Jia ketika ini memegang status sebagai perseorangan lelaki nombor satu negara susulan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang hampir setahun tidak beraksi dalam kejohanan kerana masih dalam pemulihan susulan kanser hidung dihidapinya.

Juara Terbuka Taiwan 2018 itu buat kali pertama menggalas tugas sebagai perseorangan lelaki utama negara dalam kejohanan berpasukan pada saingan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China berakhir Ahad lalu.

Anak didik Datuk Misbun Sidek itu mempamerkan prestasi baik di Nanning termasuk ketika memberi tentangan sengit kepada pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir.

Sebelum itu dia tewas kepada Shi Yuqi dari China dalam aksi sulung peringkat kumpulan namun berjaya mengejutkan pemain India, Sameer Verma pada aksi kedua.

“Saya sudah memberikan yang terbaik ketika berdepan Momota. Dia adalah pemain nombor satu dunia dan bukan mudah untuk menewaskannya.

“Saya akan terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasi dan mungkin suatu hari nanti saya boleh tewaskan Momota,” katanya akan menyertai Terbuka Australia di Sydney bermula 4 hingga 9 Jun ini.

 

 

Berita Harian X