Ahad, 19 Mei 2019 | 9:29am
NOVAK Djokovic (kiri) dan Rafael Nadal. - Foto Reuters

Pertembungan ke-54 Djokovic-Nadal

ROME: Novak Djokovic berkata beliau akan bertemu dengan “musuh utamanya”, Rafael Nadal apabila kedua-dua pemain itu bertembung sesama sendiri buat kali ke-54 dalam final Terbuka Itali, awal pagi esok.

Djokovic menewaskan pemain Argentina, Diego Schwartzman 6-3, 6-7 (2/7), 6-3 dan akan bertemu juara bertahan, Nadal selepas pemain Sepanyol itu mudah menewaskan Stefanos Tsitsipas dari Greece dengan 6-3, 6-4 sekali gus merekodkan final ke-50 Masters buatnya.

“Ia adalah pertembungan terhebat,” kata pemain nombor satu dunia dari Serbia itu yang akan bertemu Nadal.

“Banyak kali saya sudah bertemu dia dalam perlawanan. Sehingga ke hari ini, persaingan kami adalah yang terpanjang dalam sejarah tenis sepanjang masa. Setiap kali kami bermain, perlawanan pasti mengujakan.”

Djokovic – pemenang Terbuka Madrid pada hujung minggu lalu – terpaksa bertarung sengit dalam dua perlawanan terakhirnya di Rome.

Pemain berumur 31 tahun itu menewaskan lawannya Schwartzman dalam masa 2 jam 31 minit, dengan menyelamatkan dua mata permainan dalam tempoh tiga jam menentang Juan Martin Del Potro.

Tetapi Nadal, pemenang Grand Slam 17 kali, pula tidak ketinggalan walau satu set pun sepanjang minggu ini menuju ke final di Rome buat kali ke-11.

“Beliau adalah juara terhebat dalam sukan ini yang pernah dilihat,” kata juara Grand Slam 15 kali, Djokovic.

“Mental beliau, pendekatan, daya tahan, kemampuan untuk kembali bangkit selepas lama tidak menyertai jelajah kerana kecederaan, pembedahan, beliau ada semuanya.

“Beliau tetap tunjukkan kepada dunia mengapa dia adalah seorang legenda terhebat dalam sejarah tenis. Saya sangat hormati beliau. Beliau adalah musuh terhebat saya sepanjang masa, sudah tentu.” – AFP

420 dibaca
Berita Harian X