Sabtu, 18 Mei 2019 | 9:40pm
BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali.

Chong Wei bakar semangat rakan

KUALA LUMPUR: Menjelang tugas sukar Malaysia bertemu China bagi aksi Piala Sudirman esok, Lee Chong Wei menggesa rakan sepasukannya supaya berjuang habis-habisan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang masih lagi belum kembali beraksi sejak didapati menghidap kanser hidung menegaskan perlawanan belum lagi berakhir sehingga mata ke-21 berjaya dikutip.

“Saya tahu ini satu cabaran yang besar bertemu China pada aksi pembukaan namun pemain perlu berjuang habis-habisan.

“Mereka tidak seharusnya mengalah. Perlawanan belum berakhir sehingga mata ke-21, tidak kiralah dalam dua ataupun tiga perlawanan,” katanya.

Pemain berusia 37 tahun itu mengakui tugas Malaysia di Nanning, China itu tidak mudah apatah lagi Malaysia turun tanpa kelibat pemain berpengalaman seperti pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016,

Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Bagaimanapun, Chong Wei yang beraksi buat kali pertama pada Piala Sudirman 2005 ketika berusia 23 tahun yakin semuanya tidak mustahil asalkan mereka berusaha keras dan kekal fokus.

“Kita menurunkan barisan yang agak muda untuk saingan Piala Sudirman kali ini. Sudah tentu kami bukanlah pasukan pilihan namun saya percaya mereka juga memiliki kekuatan tersendiri.

“Kepada semua pemain, percayalah pada diri sendiri. Fikirkan mengenai perlawanan terbaik yang pernah kamu harungi dan beraksilah sehingga titisan peluh yang terakhir.

“Bermainlah dengan maruah kamu, rakan sepasukan, keluarga dan bendera di dada kamu.

“Ingatlah Malaysia,” kata pemenang tiga pingat perak Olimpik itu menerusi akaun rasmi Instagramnya.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1989, Malaysia belum penah menjadi juara dengan pencapaian terbaik adalah pada edisi 2019 di Guangzhou apabila mara ke separuh akhir.

Selain bertemu juara 10 kali itu, Malaysia akan turut menentang juara acara berpasukan di Sukan Komanwel 2018, India, Selasa ini.

Misi mereka jelas - tewaskan India untuk mara ke peringkat kalah mati atau tewas dan pulang awal.

Kali terakhir Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi 2013 yang berlangsung di sini.

 

709 dibaca
Berita Harian X