Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:39pm
PEMAIN beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Shavon Jemie Lai. - Foto Eizairi Shamsudin.

Misi sukar di Nanning

KUALA LUMPUR: Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang membuat penampilan sulung di Piala Sudirman bertekad tidak mahu mengecewakan jurulatih mereka pada kempen yang akan membuka tirainya di Nanning, China, esok.

Dengan peluang Malaysia dilihat tipis untuk melepasi peringkat kumpulan tahun ini, pasangan beregu campuran ke-13 dunia itu tahu apa yang perlu mereka lakukan tambahan pula Soon Huat dilantik sebagai kapten pasukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Di atas kertas, Malaysia sukar untuk menjinakkan juara 10 kali, China pada aksi pembukaan Kumpulan D dan situasi ini menyaksikan mereka tidak berdepan pilihan kecuali menundukkan India pada Selasa untuk meneruskan kemaraan.

Barisan pemain negara sedar mengenai kemampuan pemain perseorangan China dan India jadi harapan disandarkan kepada barisan pemain beregu.

Gandingan beregu campuran lain yang berada dalam prestasi terbaik adalah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang membuat penampilan semula selepas mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui sebelum ini mengakui kedua-dua pasangan memiliki peluang untuk diturunkan.

"Jika kami diberi peluang beraksi, sudah tentu ia memberi tekanan namun jika jurulatih percayakan kami, sudah tentu kami perlu percaya pada diri sendiri,” kata Shevon.

"Walaupun ini aksi pertama kami di Piala Sudirman, ia pasti mendebarkan namun pada masa sama, ini peluang kami untuk cuba mengatasi had keupayaan kami.

"Tidak mudah juga buat Soon Huat sebagai kapten tetapi saya yakin dia mampu memikul tanggungjawab yang diberikan. Pasukan sentiasa memberi sokongan kepadanya."

Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Sudirman sejak mula diperkenalkan pada tahun 1989 adalah mara ke separuh akhir di Guangzhou pada edisi 2009.

385 dibaca
Berita Harian X