Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:55am
RAFAEL Nadal

Nadal ke separuh akhir, Federer, Osaka cedera

ROME: Juara bertahan, Rafael Nadal dan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Itali awal pagi tadi sementara Roger Federer dan Naomi Osaka terpaksa menarik diri berikutan kecederaan, hanya seminggu sebelum bermula Terbuka Perancis.

Nadal yang juga juara lapan kali menewaskan rakan senegara dari Sepanyol, Fernando Verdasco 6-4, 6-0 untuk mara ke pusingan seterusnya dan akan bertemu bintang meningkat naik, Stefanos Tsitsipas bagi perebutan ke final.

Djokovic pula melalui laluan berliku apabila dipaksa bertarung dalam tiga set bagi menundukkan bekas pemenang Terbuka Amerika Syarikat, Juan Martin Del Potro 4-6, 7-6 (8/6), 6-4 dan akan bertemu Diego Schwartzman dari Argentina pada separuh akhir nanti.

Tsitsipas akan bertemu Federer – yang baru kembali ke gelanggang tanah liat selepas tidak menyertai acara itu – menarik diri selepas kecederaan kaki kanan sebelum permainan lagi.


ROGER Federer

“Saya tidak cergas 100 peratus secara fizikal dan selepas berbincang dengan pasukan saya, kami putuskan untuk saya tidak bermain,” kata Federer yang berumur 37 tahun.

Bagi Nadal, ini adalah separuh akhir di gelanggang tanah liat kali keempat berturut-turut buatnya musim ini tetapi beliau tidak mara jauh sebelum usahanya merangkul gelaran Terbuka Perancis ke-12 di Roland Garros bermula 26 Mei ini.

Tsitsipas mengejutkan Nadal pada separuh akhir Terbuka Madrid minggu lalu sebelum tewas kepada Novak Djokovic.

“Ia adalah berita yang baik, saya dapat kembali semula ke sini (di) separuh akhir. Tiga lagi kejayaan berturut-turut,” kata pemain pilihan kedua, Nadal. 

“Setakat ini secara peribadinya, setiap kejayaan memberi saya keyakinan untuk perlawanan berikutnya.”

“Selepas bertahun lamanya di sini, saya tahu apa yang terjadi minggu lepas dan saya akan cuba lakukan lebih baik esok,” kata pemenang 17 kali Grand Slam itu. – AFP

 

372 dibaca
Berita Harian X