Jumaat, 17 Mei 2019 | 12:13am
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun

BAM nafi alami masalah kewangan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menafikan dakwaan bahawa badan induk itu sedang dilanda masalah masalah kewangan.

Ia susulan timbul dakwaan yang mengatakan BAM mengurangkan bonus kemenangan dan elaun pertandingan terhadap pemain di bawah naungan persatuan itu.

Sebaliknya, Norza berkata jumlah pemberian bonus dilakukan mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) yang sudah ditetapkan terhadap pemain.

"Benda itu (BAM berdepan masalah kewangan) tak betul sama sekali. Sekiranya apa yang kita lakukan berkaitan bonus contohnya, ia akan dilakukan berdasarkan KPI.

"BAM tidak mempunyai masalah kewangan dan penaja kami juga masih kekal bersama kami," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama media, semalam.

BH Sukan, kelmarin melaporkan Datuk Lee Chong Wei menuntut pemain negara tidak terlalu memikirkan atau merungut apabila bonus kemenangan dikurangkan, sebaliknya perlu lebih fokus kepada meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Norza memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden BAM selepas Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Beliau menjelaskan sudah menilai dari semua sudut terutama bagi memberi fokus kepada tugasnya sebagai Presiden MOM.

"Saya memang merancang untuk meninggalkan BAM sebab saya sudah (jadi) Presiden MOM, kemungkinan besar selepas Olimpik," katanya.

"Bagi saya, proses yang saya lakukan di BAM sudah melalui beberapa proses dan hari ini saya lihat, kita mempunyai pemain muda dan akademi kita pun sudah siap.

"Saya rasa mungkin satu atau dua tahun lagi adalah proses memberi kepimpinan itu kepada orang lain dan saya akan fokus sebagai presiden MOM."

549 dibaca
Berita Harian X