Khamis, 16 Mei 2019 | 1:16pm
Gambar fail, Maria Sharapova semasa perlawanan menentang Ashleigh Barty dari Australia pada Terbuka Australia, Januari lalu. - Foto REUTERS

Cedera bahu paksa Sharapova tarik diri

PARIS: Bintang tenis Russia, Maria Sharapova menarik diri daripada Terbuka Perancis susulan kecederaan bahu, umum juara Roland Garros dua kali itu, awal pagi tadi.

Maria, 32, yang menang lima gelaran Grand Slam, tidak beraksi sejak hujung Januari lalu.

“Kadang-kadang membuat keputusan tepat bukannya mudah,” katanya dalam akaun Instagram.

“Berita baik, saya sudah kembali ke gelanggang latihan dan secara perlahan membina kembali kekuatan di bahu,” katanya berserta gambar dia menjulang trofi Roland Garros pada 2014.

Februari lalu, pemain nombor 35 dunia itu berkata, dia menjalani pembedahan kecil untuk memulihkan masalah bahunya.

Januari lalu, bekas pemain nombor satu dunia itu terlepas ke suku akhir Terbuka Australia.

Maria bergelut untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik sejak berehat ketika digantung 15 bulan susulan gagal ujian doping yang berakhir pada 2017.

Terbuka Perancis tahun ini akan berlangsung dari 26 Mei hingga 9 Jun dengan Rafael Nadal dan Simona Halep tampil sebagai juara bertahan. – AFP

147 dibaca
Berita Harian X