Khamis, 16 Mei 2019 | 10:27am
MOHAMAD Norza Zakaria ditemui di Tropicana Golg and Country Resort. - Foto Owee Ah Chun

Norza rebut peluang terajui Badminton Asia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Beliau menjelaskan sudah menilai dari semua sudut terutama bagi memberi fokus kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Saya memang merancang untuk meninggalkan BAM sebab saya sudah (jadi) Presiden MOM, kemungkin besar selepas Olimpik," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MOM bersama media di sini, semalam.

"Bagi saya, proses yang saya lakukan di BAM sudah melalui beberapa proses dan hari ini saya lihat, kita mempunyai pemain muda dan akademi kita pun sudah siap.

"Saya rasa mungkin satu atau dua tahun lagi adalah proses memberi kepimpinan itu kepada orang lain dan saya akan fokus sebagai Presiden MOM."

Dalam perkembangan lain, Norza turut menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC) bagi penggal 2019-2023 dengan pemilihan akan berlangsung di Nanning, China, 25 Mei ini.

Beliau berkata, antara faktor utama beliau menyahut cabaran itu kerana mahu membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan terhadap sukan badminton khususnya di benua Asia.

"Beberapa negara kuasa besar sukan badminton juga telah meminta saya (bertanding) memandangkan ibu pejabat BAC terletak di Malaysia," katanya.

"Salah satu alasan yang penting juga kerana kewujudan akademi badminton Malaysia yang saya anggap antara akademi terbaik di dunia.

"Jadi, saya merasakan kita boleh menawarkan fasiliti itu bukan saja kepada negara kuasa besar badminton, tapi juga buat negara kecil seperti Asia Barat dan Asia Tengah untuk bawa sukan badminton mereka ke peingkat lebih tinggi."

"Seperti saya nyatakan yang jawatan Presiden BAC adalah pengenalan kepada saya untuk pergi ke peringkat antarabangsa kerana saya juga Presiden MOM."

296 dibaca
Berita Harian X