Selasa, 14 Mei 2019 | 6:01pm
LEE Chong Wei

Jangan jadikan kekangan kewangan alasan - Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei tidak mahu pemain negara menjadikan kekangan kewangan yang dihadapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini sebagai halangan untuk terus membuktikan kemampuan diri.

Sebaliknya, Chong Wei menasihatkan pemain untuk terus fokus memantapkan permainan dengan sasaran memburu kejayaan.

Katanya, kekangan kewangan bukan hanya dihadapi BAM malah hampir semua persatuan sukan kebangsaan berikutan ekonomi yang kurang baik sehingga menjejaskan penaja menyalur dana.

“Jangan fikir atau merungut apabila bonus (kemenangan) dikurangkan. Sebagai pemain, kita harus terus fokus memperbaiki persembahan. Pemain harus memandang ke depan. 

“Apabila kita mendapat keputusan yang baik, pasti ada penaja yang mencari kita, tak perlu lagi kita terkejar-kejar mencarinya,” kata Chong Wei yang akan berusia 37 tahun Oktober ini.

Ketika ini difahamkan ada pemain yang kurang senang dengan tindakan BAM mengurangkan bonus kemenangan selain elaun pertandingan.      

 

Tindakan BAM itu berikutan ada penaja yang memotong atau lewat menyalurkan tajaan berikutan terjejas dengan situasi ekonomi ketika ini.   

Kata Chong Wei sebagai pemain, tugas mereka adalah untuk terus membuktikan kemampuan di gelanggang.       

Mengulas tindakan BAM yang terpaksa mengehadkan kejohanan untuk pemain dengan tumpuan lebih kepada mereka yang disasarkan untuk Sukan Olimpik 2020, Chong Wei berkata perkara itu tidak dapat dielakkan.       

“Ketika saya dalam skuad remaja, kami juga setakat bertanding dalam tiga kejohanan iaitu di Indonesia, Thailand dan Singapura.  Waktu itu kami tiada pilihan selain berlumba-lumba mendapatkan keputusan yang baik agar dapat dihantar ke kejohanan lain,” katanya.      

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui jumlah lapan pemain perseorangan yang ada ketika ini menyebabkan skuad itu berdepan kekurangan daripada sesi latihan.    

 

Menurutnya, kalau dulu pemain dapat berdepan corak permainan yang berbeza sewaktu sesi sparring berikutan ada 16 pelatih, situasi itu kini agak berbeza.    

“Bayangkan kalau kita makan nasi ayam setiap hari pasti ia menjemukan. Tapi keadaan ini harus kita terima juga.    

“Tiada jalan pintas untuk kejayaan. Saya dulu juga berdepan pelbagai liku, dan saya tidak mahu pemain muda melihat pencapaian saya ketika ini tapi lihat apa yang sudah saya lalui,” katanya.     

Sementara  itu, Chong Wei yang masih menanti lampu hijau untuk kembali beraksi selepas berehat lebih 10 bulan akibat rawatan kanser hidungnya berkata dia akur dengan nasihat doktor kerana kesihatan adalah keutamaannya sekarang.

879 dibaca
Berita Harian X