Sabtu, 11 Mei 2019 | 11:55am
ROGER Federer

Federer tersingkir, Nadal atasi Wawrinka

MADRID: Dominic Thiem mengakhiri kepulangan semula Roger Federer ke gelanggang tanah liat dengan kemenangan 3-6 7-6(11) 6-4 sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Madrid, awal pagi tadi.

Pilihan kelima kejohanan dari Austria itu, yang turut menyelamatkan dua mata akhir akan bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di peringkat empat terbaik selepas bintang tenis Serbia itu menyingkirkan Marin Cilic.

Raja tanah liat Sepanyol, Rafael Nadal menewaskan pemain Switzerland, Stan Wawrinka 6-1 6-2 dan akan bertemu Stefanos Tsitsipas yang mara selepas menyingkirkan Alexander Zverev 7-5 3-6 6-2.

“Roger bermain dengan amat baik di gelanggang tanah liat jadi saya amat gembira,” kata Thiem mengenai lawannya yang bermain di kejohanan di gelanggang tanah liat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun. “Dia amat istimewa, mungkin pemain terbaik dalam tenis.

“Amat sukar setiap kali kamu bermain menentangnya, ia satu kesempurnaan bagaimana di mengharungi perlawanan, setiap mata yang diperoleh daripadanya adalah satu cabaran.”

Pilihan kedua kejohanan, Nadal dalam pada itu mudah mengatasi Wawrinka untuk melupakan kekecewaan di Terbuka Barcelona apabila dia menghidapi virus, awal minggu ini.

“Ia salah satu daripada perlawanan terbaik saya sejak sekian lama,” kata Nadal yang juga pemenang lima kali di Madrid.


RAFAEL Nadal

Sementara itu, Tsitsipas mengharungi permainan yang baik bagi mengetepikan juara tahun lalu Zverev, yang melakukan 14 kesilapan tidak sepatutnya pada set pembukaan.

Zverev bangkit pada set kedua tetapi kesalahan berganda ketika melakukan servis pada set ketiga memberikan kelebihan buat Tsitsipas dalam pertembungan yang membabitkan dua pemain muda berpotensi itu.

“Saya fikir saya layak menang pada penghujung perlawanan. Saya bermain dengan amat baik, saya merasa amat selesa di atas gelanggang,” kata  Tsitsipas. “Apabila kamu merasakan sesuatu seperti ini, kamu boleh melakukan keajaiban.” - Reuters

Berita Harian X