Rabu, 8 Mei 2019 | 6:02pm
Lee Zii Jia.

Ujian buat Zii Jia ganti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama Malaysia bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai perseorangan lelaki pertama dalam kejohanan berpasukan utama dunia, kali ini skripnya berubah dengan Lee Zii Jia akan memikul tanggungjawab itu pada saingan Piala Sudirman 2019.

Kejohanan berpasukan campuran yang akan bermula 19 hingga 26 Mei di Nanning, China itu akan menjadi ujian sebenar buat Zii Jia sama ada dia benar-benar mampu mengambil alih tempat Chong Wei andai bekas pemain nombor satu dunia itu bersara.

Dengan Malaysia diundi bersama China dan India dalam Kumpulan D, Zii Jia tidak boleh mengelak selain bertemu pemain perseorangan utama kedua-dua negara itu.

China memiliki tiga 'gergasi' iaitu Lin Dan, Chen Long dan Shi Yuqi manakala India hampir pasti menurunkan K Srikanth.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek tanpa berselindung mengakui pemain berusia 21 tahun itu akan diberi tanggungjawab menjadi perseorangan utama negara.

"Untuk sekarang ini, sudah tentu saya akan berikan tanggungjawab kepada Zii Jia. Untuk perlawanan dengan China, kita akan lihat siapa mereka turunkan sama ada Lin Dan, Chen Long atau Shi Yuqi.

"Dengan India, Srikanth hampir pasti menjadi lawan Zii Jia. Bagi saya, ini adalah medan terbaik untuk menilai prestasi sebenarnya.

"Kejohanan ini akan menjadi titik permulaan buat Zii Jia menggalas tanggungjawab penting dan dia perlu melalui pengalaman ini. Sebenarnya, tahap permainannya sudah menyamai pemain dalam kelompok utama dunia seperti Chou Tien Chen (Taiwan) dan Jonathan Christie (Indonesia).

"Cuma, dia perlu faham yang dia perlu tingkatkan lagi permainannya untuk menjadi lebih konsisten dan mampu bersaing dengan pemain utama dunia," kata Misbun.

Misbun berkata selain Zii Jia, beliau turut membawa Cheam June Wei ke Nanning.

"Dalam senarai 20 pemain, memang kita letak tiga pemain perseorangan lelaki tetapi hanya dua yang kita akan dibawa ke Nanning. Jadi, saya akan bawa Zii Jia dan June manakala Soong Joo Ven tidak akan ikut tetapi dia perlu bersedia," katanya.

 

 

Berita Harian X