Ahad, 28 April 2019 | 12:27pm
RAFAEL Nadal. - Foto EPA

Nadal kekal positif biarpun tewas

BARCELONA: Rafael Nadal menolak tanggapan ramai mengenai krisis keyakinan dirinya di Terbuka Perancis dengan menyatakan dia sebenarnya menikmati 'minggu positif' di Terbuka Barcelona meskipun ditunjuk jalan keluar di pusingan suku akhir kejohanan yang pernah dimenanginya sebanyak 11 kali itu.

Jaguh Sepanyol itu tewas 6-4, 6-4 di tangan Dominic Thiem awal pagi tadi, hanya seminggu selepas dikalahkan juara Monte Carlo Masters, Fabio Fognini - juga di separuh akhir.

Kemenangan itu juga adalah yang keempat buat Thiem di gelanggang tanah liat dalam pertemuan dengan Nadal yang sebelum ini juga tewas di separuh akhir di Barcelona.

Dengan hanya empat minggu sebelum bermulanya Roland Garros, kejohanan yang dia memegang gelaran selaku juara bertahan dan pemenang 11 kali, Nadal, 32, berkata dia kini semakin 'bernyawa' di permukaan kegemarannya itu.

"Minggu yang sangat positif," kata pemenang 17 kali Grand Slam itu.

"Saya berada di sini dari detik yang sangat rendah di Monte Carlo. Hari ini adalah hari pertama saya berasa sangat yakin di gelanggang tanah liat, ia permainan terbaik saya di atas permukaan ini tahun ini. Keyakinan saya sudah pun kembali.

"Saya percaya corak permainan saya sudah menunjukkan peningkatan. Ini adalah satu asas yang baik untuk mencuba dan mencapai sasaran saya untuk beberapa minggu akan datang."

Pilihan ketiga dari Austria, Thiem, yang pernah ditewaskan Nadal dalam aksi final Terbuka Perancis 2018, enggan menganggap pencapaiannya itu adalah yang terbaik di gelanggang tanah liat.

"Sudah pasti, ini adalah antara kemenangan terbaik saya di gelanggang tanah liat. Ia sentiasa memerlukan prestasi menakjubkan untuk menewaskan Rafa," katanya.

"Ini adalah permukaan terbaik untuknya, dia adalah lawan yang terbaik untuk bersaing tetapi sekiranya ini adalah yang terbaik bagi saya, itu saya tidak pasti."

Thiem mara ke final untuk bertemu Daniil Medvedev selepas lawannya itu menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 6-4, 3-6, 7-5. - AFP

305 dibaca
Berita Harian X