Ahad, 24 March 2019 | 9:09am
ROGER Federer. - Foto AFP

Federer bergelut sebelum tumbangkan Albot

MIAMI: Roger Federer bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi pemain ranking ke-46 dunia, Radu Albot 4-6, 7-5, 6-3 hari ini dan mara ke pusingan ketiga Terbuka ATP dan WTA Miami.

Pemain Moldova, Albot mendahului dan memberikan banyak masalah buat juara 20 kali Grand Slam itu yang mengambil sedikit masa menyesuaikan diri dengan persekitaran di Stadium Hard Rock.

Namun kelas dan pengalaman ditunjukkan bintang Switzerland itu membolehkan dia mara dan menempah pertemuan kelompok 32 terakhir menentang pemain Serbia, Filip Krajinovic yang mengatasi juara tiga kali Grand Slam, Stan Wawrinka 5-7, 6-2, 7-6 (7/5) sebelum itu.

“Saya rasa Radu bermain perlawanan yang hebat, ia memang sukar dan saya bergelut pada awal permainan,” kata Federer yang juga juara tiga kali Terbuka Miami.

“Saya lega dan gembira berjaya mara. Ia persekitaran yang hebat.”


RADU Albot. - Foto AFP

Albot, 29, tampil di Miami dalam prestasi terbaik dan kedudukan tertinggi dalam kariernya.

Dia tidak pernah menentang legenda Switzerland itu sebelum ini tetapi tidak membuang masa mematahkan servis Federer pada set pertama sebelum mendahului 2-0. - AFP

263 dibaca
Berita Harian X