Rabu, 20 March 2019 | 5:18pm
SYED Saddiq ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 di Kementerian Belia dan Sukan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KBS beri sokongan penuh pada Chong Wei

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan pulih sepenuhnya biarpun masih tidak diturunkan pada saingan Terbuka Malaysia yang bermula 2 hingga 7 April ini.

"Walau apa pun yang terjadi, kita akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap Chong Wei. Beliau tetap wira negara dan kita tetap pastikan bawah beliau pulih sepenuhnya supaya apa juga tindakan yang beliau ambil selepas ini tidak jejaskan kesihatannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 kali pertama di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Semalam, pakar perubatan di Taiwan mengesahkan Chong Wei sudah sihat dan proses pemulihan berjalan lancar namun beliau dinasihatkan menarik diri daripada Terbuka Malaysia bagi mengelakkan badannya menghadapi sebarang tekanan.

"Ia pasti mengambil masa untuk proses pemulihan tetapi saya yakin beliau akan sembuh secepat mungkin," kata Syed Saddiq.

Chong Wei yang sudah mengumpul 12 gelaran di Terbuka Malaysia tidak akan mempertahankan kejuaraannya kali ini namun sudah mula menjalani latihan sejak disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu biarun belum menjalani latihan penuh dengan hanya berlatih tiga kali seminggu.

192 dibaca
Berita Harian X