Selasa, 19 March 2019 | 7:14pm
SKUAD badminton negara pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM). - NSTP/Eizairi Shamsudin

Piala Sudirman: Malaysia dalam 'kumpulan maut'

 

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara berdepan laluan berliku pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China, bermula 19 hingga 26 Mei depan.

Berdasarkan undian dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China dan India sekali gus dilabel ‘kumpulan maut’.

Atas kertas, China dan India sememangnya memiliki kelebihan berdasarkan barisan pemain dimiliki mereka ketika ini selain menyaksikan kedua-dua pasukan itu tampil sebagai pilihan kedua dan kelapan kejohanan.

Malaysia pula sekadar diletakkan sebagai pilihan kesembilan.

Undian hari ini turut menyaksikan pilihan pertama, Jepun diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Russia manakala Indonesia, Denmark dan England dalam Kumpulan B.

Juara bertahan, Korea Selatan diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan dan Hong Kong.

Pada edisi dua tahun lalu di Gold Coast, Australia, skuad negara hanya mara hingga peringkat suku akhir.

Skuad negara tidak pernah menjuarai Piala Sudirman sejak ia diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

970 dibaca
Berita Harian X