Ahad, 17 March 2019 | 11:28am
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal (kanan) dan Roger Federer dari Switzerland. - Foto AP

Tiada aksi Nadal, Federer di Indian Wells

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pertemuan ke-39 di antara dua seteru, Roger Federer dan Rafael Nadal di separuh akhir Indian Wells Masters tidak menjadi kenyataan apabila bintang tenis Sepanyol itu menarik diri susulan kecederaan.

Penarikan diri pemain nombor dua dunia itu menyaksikan Federer yang memburu gelaran ATP ke-101 dan keenam di Indian Wells akan bertemu Dominic Thiem di pentas final.

Kecederaan Nadal di bahagian lutut dikatakan bertambah teruk selepas aksi suku akhir menewaskan Karen Khachanov dan dia langsung tidak memasuki gelanggang untuk mengharungi aksi menentang legenda Switzerland itu.

“Saya mahu memberikan yang terbaik untuk menjadi kompetitif,” kata Nadal yang jelas kecewa. “Saya memanaskan badan pada sebelah pagi, dan saya merasakan lutut saya tidak cukup baik untuk bersaing di tahap yang saya perlukan untuk bersaing, untuk beraksi di separuh akhir kejohanan ini.”

Federer yang diletakkan pilihan keempat kejohanan akan bertemu jaguh muda Austria, Thiem, 25, yang memburu gelaran pertama Masters dalam kariernya.

Thiem, yang menduduki ranking lapan dunia beraksi dengan cukup baik apabila mencatat kemenangan 7-6 (7/3), 6-7 (3/7), 6-4 ke atas pemain ranking 14 dunia, Milos Raonic dari Kanada.

“Ia hari yang menakjubkan,” kata Thiem yang beraksi di final ketiga Masters. “Servisnya sukar untuk dipercayai sekali pun saya beraksi dengan baik, dua set pertama amat sengit.”

Federer dalam pada itu mengakui kecewa pertemuannya dengan Nadal tidak menjadi kenyataan.

“Kami pernah mengharungi pertarungan yang epik,” kata Federer, 38, di mana perseteruannya dengan Nadal sudah berlarutan selama 15 tahun. 

“Semua orang tahun setiap kali kami bertemu ini mungkin menjadi yang terakhir buat kami. Jadi inikah peluang terakhir kami, saya tidak mengharapkannya dan percaya di tahap dia beraksi ketika ini dan di mana tahap saya ketika ini, saya rasa akan ada lagi di masa depan.”

Nadal juga mengesahkan dia tidak akan beraksi di Miami Masters sebagai persiapan untuk mengharungi musim gelanggang tanah liat dan menyasarkan untuk kembali beraksi di Monte Carlo pada pertengahan bulan depan. - AFP

 

 

Berita Harian X