Rabu, 27 Februari 2019 | 11:34am
Kei Nishikori. - Foto EPA

Nishikori bergelut sebelum mara

DUBAI: Pemain pilihan utama, Kei Nishikori mengharungi laluan berliku sebelum menewaskan Benoit Paire 6-4, 6-3 dalam penampilan sulungnya di Kejohanan Dubai, sementara Marin Cilic ditundukkan Gael Monfils.

Pemain pilihan utama dari Asia itu yang juga pemain nombor enam dunia akan bertemu Hubert Hurkacz dalam pusingan kedua di Kelab Aviation. Hurkacz dari Poland menewaskan pemain daripada pusingan kelayakan, Corentin Moutet 6-3, 7-5.

Cilic pula menjadi pemain pilihan yang tersingkir pada pusingan awal selepas tunduk kepada pemain Perancis, Monfils 6-3, 4-6, 6-0.

Nishikori mengubah jadualnya pada musim ini dan bermain buat kali pertama di Dubai selepas mengehadkan dirinya kepada venue di Amerika Utara sebelum ini termasuk di Memphis dan Delray Beach.

Pemain Jepun itu memerlukan 81 minit untuk menewaskan Paire.

“Memang tak pernah mudah bermain menentang Benoit, sudah tentu. Servis yang bagus, pukulan kilas yang baik. Pemain yang licik. 'Dropshot’ yang baik, sentuhan yang bagus,” kata Nishikori.

“Ia adalah perlawanan yang bagus, ia bukanlah semudah itu dengan keadaan angin seperti ini. Saya rasa saya bermain tenis yang cukup baik hari ini.”

Cilic yang diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga yang juga pemenang Terbuka Amerika Syarikat 2014 bermula perlahan dan bermain dalam acara keduanya bagi tahun 2019 selepas kecederaan lutut.

“Saya rasa saya sedikit tak bertuah dalam undian, Marin adalah pemain yang kuat pada pusingan pertama,” kata Monfils.

“Tetapi saya bersedia, saya suka cara saya bermain dan memberi tentangan tertutama ketika saya kembali bangkit selepas tewas di set kedua.”

Bintang Greek yang sedang meningkat naik, Stefanos Tsitsipas, yang memenangi gelaran di Marseille hujung minggu lalu, pula membuka kempennya dengan kejayaan 6-4, 3-6, 6-3 ke atas pemain Australia, Matthew Ebden. - AFP

168 dibaca
Berita Harian X