Khamis, 14 Februari 2019 | 10:33am
Stefanos Tsitsipas membalas pukulan Damir Dzumhur pada saingan tenis Jelajah ATP Rotterdam, awal pagi tadi. - Foto AFP

Tsitsipas hilang punca penangan Dzumhur

ROTTERDAM, Belanda: Bintang muda Greece, Stefanos Tsitsipas berkata dia hilang punca susulan kekalahan mengejutnya di tangan Damir Dzumhur dari Bosnia pada saingan tenis Jelajah ATP Rotterdam, awal pagi tadi.

Pemain berusia 20 tahun itu yang menyingkirkan Roger Federer dalam laluannya ke separuh akhir Terbuka Australia, bulan lalu tewas 6-4, 1-6, 5-7.

Ia adalah kemenangan pertama Dzumhur sejak Oktober lalu selepas tewas dalam empat perlawanan berturut-turut.

"Saya tewas kepada diri sendiri, bukan kepada dia," kata pemain ranking ke-12 dunia itu.

"Dia memperbodohkan kamu, menunggu kamu melakukan kesilapan. Dia berdiri lapan di garisan belakang dan bermain dengan kekuatan kamu.

"Tiada apa yang istimewa dalam permainannya tetapi kamu tidak akan mendapat rentak bermain dengannya."

Tsitsipas diletakkan sebagai pilihan ketiga di Arena Ahoy tetapi kini tewas dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir termasuk tewas di tangan Rafael Nadal dalam aksi separuh akhir di Melbourne dan kekalahan di tangan Gael Monfils pada suku akhir di Sofia, minggu lalu.

Sementara itu, juara 2015, Stan Wawrinka melakar kemenangan pertama selepas tiga perlawanan apabila menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 6-4, 7-6 (7/4) untuk mara ke suku akhir.

Wawrinka yang kini menghuni ranking ke-68 dunia selepas menjalani pemulihan susulan pembedahan lutut yang dilakukannya pada 2017 semakin mendapat rentak permainannya sejak kembali ke gelanggang awal tahun ini.

"Pergerakan saya lebih baik dalam perlawanan ini berbanding ketika menentangnya sebelum ini," kata juara Grand Slam tiga kali itu.

"Ini adalah perlawanan terbaik saya selepas beberapa bulan. Saya cuba paksa diri sendiri bagi mendapatkan keputusan yang baik."

Wawrinka yang akan beraksi kali kedua di peringkat suku akhir musim ini selepas saingan di Doha akan bertemu Denis Shapovalov yang mara hasil kemenangan ke atas Tomas Berdych 6-4, 6-3. - AFP

155 dibaca
Berita Harian X