Isnin, 11 Februari 2019 | 3:09pm

Chong Wei sedia harungi saingan 3 penjuru

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui sedar dirinya bakal berdepan pertembungan tiga penjuru dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua lagi pemain perseorangan lelaki negara yang turut berada di landasan tepat untuk layak ke Tokyo adalah Lee Zii Jia dan Liew Daren.

Menjelang pusingan kelayakan Olimpik yang bermula 1 Mei ini, Zii Jia sedang mendahului saingan tiga penjuru berkenaan apabila menghuni ranking ke-28 dunia, berbanding Daren (29) dan Chong Wei (30).

Setiap negara hanya dibenarkan mempunyai dua wakil beraksi di Olimpik sekiranya kedua-dua pemain berada dalam kelompok 16 terbaik dunia sebaik tamat pusingan kelayakan pada 30 April 2020.

"Apa yang pasti, hanya pemain terbaik akan layak ke Olimpik. Saya akan buat yang terbaik untuk cuba layak kerana ia akan menjadi penampilan kelima untuk saya di Olimpik.

"Namun, jika saya tidak layak pun tidak mengapa kerana saya sudah empat kali beraksi di Olimpik (sejak 2004). Zii Jia dan Daren tidak pernah beraksi ke Olimpik. Jadi saya pasti mereka juga mahu layak. Semua orang ada peluang untuk layak, kita tidak boleh pandang rendah kemampuan pemain lain.

"Pada saingan Olimpik Rio 2016, semua orang mengharapkan saya untuk memenangi pingat tetapi akhirnya kita Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) turut menang pingat perak.

"Apa pun, saya ingatkan semua pemain agar fokus untuk layak ke Olimpik terlebih dahulu sebelum berfikir mengenai perkara lain. Peluang menyertai setiap kejohanan dalam tempoh kelayakan Olimpik ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menghasilkan keputusan yang baik," kata pemenang perak Olimpik tiga kali itu ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei dijangka membuat kemunculan semula selepas berehat panjang susulan kanser hidung, pada saingan Terbuka Malaysia, April ini.

Kali terakhir bekas pemain nombor satu dunia berkenaan menyertai kejohanan antarabangsa adalah pada Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

"Saya akan kembali ke Taiwan bagi melakukan pemeriksaan dengan doktor saya di sana, bulan depan. Sekiranya doktor memberikan lampu hijau, sudah pasti saya akan beraksi di Terbuka Malaysia," katanya.

1368 dibaca
Chong Wei ingatkan semua pemain fokus untuk layak ke Olimpik terlebih dahulu sebelum berfikir mengenai perkara lain. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X