Khamis, 31 Januari 2019 | 11:54am
LEE Zii Jia. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia nombor satu Malaysia

KUALA LUMPUR: Walaupun baru beraksi dalam tiga kejohanan tahun ini, Lee Zii Jia kini sudah memegang status pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara.

Ia berdasarkan kedudukan ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu menghuni ranking ke-28 dunia - melonjak tujuh tangga selepas tempoh satu minggu.

Peningkatan itu susulan prestasi cemerlang ditampilkan Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan 2018 apabila dia berjaya mara sehingga suku akhir dalam tiga kejohanan berturut-turut - Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Liew Daren kedua terbaik negara apabila menghuni ranking ke-29 dunia diikuti pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, Datuk Lee Chong Wei (31).

Ranking Chong Wei jatuh selepas terpaksa berehat panjang susulan menghidapi kanser hidung dan kini dalam proses kembali turun menjalani latihan di gelanggang.

Bagi Zii Jia, dia enggan terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian itu kerana perjalanannya masih jauh.

"Saya belum puas hati lagi, saya perlu kekal merendah diri. Perjalanan saya masih panjang dan perlu terus bekerja keras," kata Zii Jia yang mengakui akan berdepan cabaran lebih sukar bagi mengekalkan status itu.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut berterima kasih kepada ketiga-tiga jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, Hendrawan, Indra Wijaya dan bekas jurulatih, Sairul Amar Ayob yang banyak membantu bagi meningkatkan prestasinya.

"Sejak Datuk Misbun masuk BAM, keputusan saya semakin bagus dan permainan saya semakin matang.

"Saya fikir inilah keserasian yang ada dalam barisan jurulatih perseorangan lelaki apabila mereka sentiasa berbincang bagi membantu meningkatkan prestasi saya," kata Zii Jia yang akan beraksi pada saingan Terbuka Jerman bermula 26 Februari hingga 3 Mac depan.

Dia juga mengintai peluang bagi beraksi pada kejohanan berprestij Seluruh England yang bermula 6 hingga 10 Mac apabila kini diletakkan sebagai pemain simpanan kedua.

1269 dibaca
Berita Harian X