Khamis, 24 Januari 2019 | 9:36pm
RAFAEL Nadal. - AFP

Nadal ke final Terbuka Australia

MELBOURNE: Rafael Nadal memberikan pengajaran berguna buat bintang baharu, Stefanos Tsitsipas apabila menang 6-2, 6-4, 6-0 pada separuh akhir Terbuka Australia sebentar tadi.

Pemain Greece yang juga pilihan ke-14 itu mengharungi perlawanan ibarat cerita dongeng ke kelompok empat pemain terakhir dalam penampilan pertamanya di Grand Slam.

Ia termasuk kemenangan mengatasi Roger Federer, namun mendapati dia gagal menghalang Nadal daripada mencipta kemenangan dalam tempoh 1 jam 46 minit.

Pilihan kedua dari Sepanyol itu tidak mencicirkan servisnya untuk 63 perlawanan berturut-turut dan tidak tewas dalam satu set untuk saingan ke final, ketika dia akan berdepan sama ada Novak Djokovic atau Lucas Pouille.

“Ia adalah pertemuan yang hebat, kejohanan yang hebat,” kata Nadal selepas persembahan tenis yang hampir sempurna.

“Saya rasa saya bermain sangat baik setiap hari. Selepas beberapa bulan tidak bermain mungkin gelanggang ini, penonton di sini memberikan saya tenaga yang sukar dipercayai.”

Pemain berusia 20 tahun, Tsitsipas dilabelkan sebagai Dewa Tenis Greece yang baharu selepas menumbangkan Federer, namun usahnya ke puncak disekat pemain lebih hebat, Nadal.

Kemenangan Nadal meletakkannya ke final Terbuka Australia kelima dan di landasan tepat untuk menjadi pemain pertama menang semua empat Grand Slam sebanyak dua kali dalam era Terbuka jika dia dapat mengulangi kejayaan di Melbourne Park pada 2009.

Berita Harian X