Jumaat, 18 Januari 2019 | 8:25pm
Rafael Nadal (kanan) memberi kata perangsang kepada Alex de Minaur dari Australia sejurus tamat perlawanan pusingan ketiga Terbuka Australia, sebentar tadi. - Foto EPA

Nadal singkirkan sensasi tuan rumah

MELBOURNE: Rafael Nadal melabelkan Alex de Minaur sebagai ‘antara pemain terbaik dunia’, - apabila remaja tuan rumah itu memberikan saingan sengit sebelum tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Australia, sebentar tadi.

Pemain tenis sensasi Australia itu terpaksa akur dengan kehebatan Nadal yang mara ke pusingan keempat selepas menang 6-1, 6-2, 6-4 dalam pertarungan selama dua jam, 22 minit.

Nadal - pemain Sepanyol yang sudah meraih 17 gelaran Grand Slam memaksa lawannya, pilihan ke-27 yang berusia 19 tahun berlari ke segenap penjuru gelanggang di Rod Laver Arena.

Tahun lalu, Nadal tersingkir di suku akhir Terbuka Australia, dan menghabiskan musim 2018 dengan berehat selepas pembedahan kaki serta menarik diri daripada aksi pemanas badan di Brisbane, dua minggu lalu.

Namun, dalam kejohanan kompetitif ketiga yang disertai selepas kembali pulih daripada kecederaan, Nadal agak bergelut untuk mendapat kembali rentak terbaiknya dan pada perlawanan tadi, dia berdepan saingan sengit De Minaur.

De Minaur, yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan langsung tidak menunjukkan tanda mudah mengalah dan cuma melakukan kesilapan minimum.

“Dia lawan yang sukar. Mungkin dia adalah pemain paling pantas,” kata Nadal selepas perlawanan.

"Saya rasa, saya sudah mempamerkan aksi cukup mantap dan mengucapkan tahniah kepada Alex kerana mengharungi permulaan musim dengan cukup bagus. Dia memiliki masa depan yang cerah,”

Nadal dijadualkan berdepan pemain bukan pilihan dari Republik Czech yang juga bekas pemain nombor empat dunia, Tomas Berdych untuk memburu slot ke suku akhir. - AFP

284 dibaca
Berita Harian X