Khamis, 17 Januari 2019 | 6:58pm
Pemain beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi ketika menentang pemain Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto menerusi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Tahun ini tahun kami'

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menganggap 2019 adalah tahun untuk mereka menyerlah terutama bagi mengejar impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain yang berusia 22 dan 21 tahun itu berkata, walaupun masih dianggap muda namun mereka enggan mensiakan-siakan peluang demi memburu tempat ke Tokyo.

Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking ke-23 dunia terus mengorak langkah bagi merealisasikan impian itu apabila mara ke suku akhir kejohanan Masters Malaysia, hari ini.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas mereka menyingkirkan juara bertahan dari Indonesia yang juga pasangan nombor tujuh dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 26-24, 21-14 pada pusingan kedua.

“Tahun ini memang tahun kami. Ketika Olimpik Tokyo 2020 kami akan berusia 24 dan 23 tahun. Sebab itu, kami anggap tahun ini cukup penting buat kami.

“Fokus utama kami sekarang hingga April depan adalah bagi meningkatkan kedudukan ranking dunia. Apabila bermula kelayakan Olimpik pada Mei depan dan ranking semakin bagus, ia membolehkan kami mendapat undian lebih baik dalam mana-mana kejohanan disertai,” kata Aaron ketika ditemui selepas perlawanan.

Aaron-Wooi Yik yang mula mencuri tumpuan susulan kejayaan mara ke suku akhir Kejohanan Dunia 2018 di Nanjing, China dilabel sebagai prospek bagi membawa cabaran Malaysia di Tokyo.

Bagaimanapun, mereka perlu bersaing dengan pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turut memburu tempat ke Tokyo.

Dua pasangan itu bagaimanapun mampu layak ke Tokyo jika berada dalam kelompok lapan terbaik. Jika sebaliknya, hanya satu pasangan dengan ranking terbaik layak.

Pada suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan nombor enam dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen - lawan yang mereka tewaskan pada pusingan kedua Kejohanan Dunia tahun lalu.

“Kami sudah buktikan kami boleh menewaskan mereka biarpun ranking dunia mereka tinggi. Jadi, kali ini kami lebih yakin untuk mengulanginya apatah lagi bermain di tempat sendiri,” ujar Wooi Yik.

Sementara itu, perseorangan lelaki profesional, Liew Daren turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Victor Svendsen 21-18, 21-7 pada pusingan kedua.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 itu akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Shi Yuqi yang mara selepas menyingkirkan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-8, 21-12.

“Peluang untuk menang tetap ada biarpun semua tahu Yuqi pemain utama dunia. Saya akan menganalisis corak permainannya dan buat persiapan terbaik,” kata Daren.

469 dibaca
Berita Harian X