Rabu, 16 Januari 2019 | 11:46pm
LEE Zii Jia beraksi ketika menentang Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil. - BERNAMA

Tiada aksi Zii Jia temu Momota di Masters Malaysia 

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan lelaki muda negara, Lee Zii Jia bagi menentang pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun tidak menjadi kenyataan.

Ketika Zii Jia berjaya melepasi pusingan pertama Masters Malaysia, namun skrip berbeza dialami Momota yang dikejutkan dengan kekalahan di tangan rakan senegara, Kenta Nishimoto, hari ini.

Juara dunia 2018, Momota terpaksa akur apabila tewas 15-21, 21-14, 20-22.

Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan  2018 mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 14-21, 21-18, 21-10.

Pemain berusia 20 tahun itu sememangnya mengidamkan pertembungan dengan Momota bagi menilai tahap kemampuannya bersaing dengan jaguh utama dunia namun Nishimoto juga bakal menjadi lawan yang mencabar buat dirinya.


KENTO Momota beraksi menentang Kenta Nishimoto pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil. - BERNAMA

Sementara itu, beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua selepas mengatasi Di Zijian-Wang Chang dari China 21–14, 19-21, 21-9.

Mereka akan bertemu bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan bagi merebut tempat ke suku akhir, esok.

Pasangan muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-19, 21-12.

 

 

Berita Harian X