Rabu, 16 Januari 2019 | 9:51pm
Rafael Nadal. - EPA

Nadal garang singkir Ebden

MELBOURNE: Rafael Nadal kekal di landasan untuk menjulang gelaran Grand Slam ke-18 apabila menyingkirkan pemain tuan rumah, Matthew Ebden dalam pertarungan straight set di pusingan kedua Terbuka Australia, hari ini.

Bintang tenis Sepanyol itu, yang memendekkan tempoh bermain pada musim lalu selepas menjalani pembedahan kaki tidak memberikan banyak ruang kepada lawannya dan menang dalam tempoh sejam 16 minit.

Satu-satunya tekanan diberikan Ebden, 31 terhadap pemain berusia 32 tahun dan baru mengubah corak servisnya itu adalah sokongan padu peminat di Rod Laver Arena sebelum Nadal menang dengan keputusan 6-3, 6-2, 6-2.

“Saya mengharungi permainan yang sempurna, saya gembira dengan servis saya. Saya melakukan beberapa perkara dengan amat baik,” kata Nadal yang sekali lagi dijadual bertemu pemain Australia, Alex de Minaur di pusingan ketiga.

“Satu penghormatan untuk bermain di sini. Suasananya menakjubkan.”

Nadal menarik diri daripada kejohanan pemanas badan di Brisbane, dua minggu lalu selepas mengalami kekejangan paha tetapi dia langsung tidak menampakkan tanda-tanda kesakitan yang menyaksikannya tersisih daripada Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

“Saya tidak tahu sama ada ia bagus,” kata Nadal selepas mengharungi aksi penuh dominan. “Saya baru saya pulih daripada kecederaan jadi tidak mudah untuk menilainya.” - AFP

155 dibaca
Berita Harian X