Selasa, 15 Januari 2019 | 7:04pm
LEE Zii Jia beraksi pada pusingan kelayakkan Kejuaraan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Peluang bertemu Momota cetus motivasi Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadikan peluang membuat perhitungan dengan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun sebagai motivasi buat dirinya menjelang aksi pusingan pertama Masters Malaysia, esok.

Pemain berusia 20 tahun itu yang dilabel sebagai jaguh dalam pembikinan berpeluang bertemu Momota di pusingan kedua tetapi perlu melepasi halangan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk di pusingan pertama terlebih dahulu.

Jika menang, dia dijangka menentang Momota bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Terdahulu, Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan 2018 berjaya melepasi pusingan kelayakan sekali gus layak ke undian utama kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Dalam aksi kelayakan pertama dia menewaskan rakan senegara, Soon Joo Ven 21-23, 21-13, 24-22 sebelum menyingkirkan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin 21-17, 21-16.

“Sudah pasti saya teruja untuk menentang Momota kerana memberi peluang untuk saya menimba pengalaman berdepan pemain nombor satu dunia. Ini peluang baik untuk saya.

“Walaupun orang akan fikir peluang untuk menang tidak tinggi tetapi saya tidak fikir sangat mengenai perkara itu. Bagi saya apa yang penting, fokus terhadap persiapan saya.

“Namun, apapun saya tetap perlu memberi perhatian terlebih dahulu untuk perlawanan pusingan pertama esok dan selepas itu jika ditakdirkan bertemu Momota, saya pasti sudah bersedia,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas aksi pusingan kelayakan, hari ini.

Zii Jia hanya sekali bertemu Momota dan tewas 8-21, 10-21 kepada pemain Jepun itu ketika separuh akhir Cabaran Antarabangsa Republik Czech 2017.

“Masa itu Momota baru saja kembali beraksi selepas tamat tempoh penggantungannya (kerana berjudi). Sekarang dua tahun sejak perlawanan itu dan pastinya permainan juga akan berbeza,” kata Zii Jia.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming turut mara ke undian utama selepas menewaskan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Ronan Labar 21-19, 21-17 dalam aksi pusingan kelayakan.

Mereka akan bertemu pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Emil Seidel di pusingan pertama.

Berita Harian X