Selasa, 8 Januari 2019 | 10:49am
Rafael Nada melayan panggilan pihak media ketika bersama dengan anak-anak dari pelbagai akademi tenis Queensland di kejohanan tenis Brisbane International di Brisbane, kelmarin. - Foto AFP

Saya sihat - Nadal

SYDNEY: Pemain tenis nombor dua dunia, Rafael Nadal yang sering berdepan kecederaan menegaskan dia sudah sihat dan tidak berasa sakit selepas menyertai perlawanan pertunjukan di Sydney, sehari selepas menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Brisbane.

Sensasi Sepanyol itu bergandingan dengan wakil Kanada, Milos Raonic ketika menewaskan gandingan Australia, Nick Kyrgios and John Millman pada perlawanan pertunjukan FAST4, semalam.

Nadal berkata, dia berasa lebih baik selepas menarik diri di Brisbane, selepas ujian Pengimbas Imej Magnetik (MRI) mendapati berlaku sedikit ketegangan pada paha kirinya, yang mencetuskan persoalan sama ada dia dapat cergas sepenuhnya untuk Terbuka Australia, minggu depan.

"Saya tidak berasa sakit. Saya rasa ia adalah permulaan yang baik untuk saya dan penampilan semula yang positif di depan penyokong di Sydney.

"Saya sangat gembira beraksi di sini dan berasa sihat," katanya.

Nadal tidak beraksi di kejohanan utama sejak mengalami kecederaan lutut yang memaksanya menarik diri ketika saingan separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) bertemu Juan Martin del Potro, September lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu menjalani pembedahan di pergelangan kaki pada November sebelum kembali menjalani latihan sebulan lalu. 

Dia beraksi pada perlawanan pertunjukan di Abu Dhabi untuk memulakan musim baharunya sebelum tewas kepada pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson.

Nadal meraih ‘bye’ pada pusingan pertama di Brisbane, sebelum menarik diri menjelang perlawanan pusingan kedua.

Ditanya adakah dia mampu menjadi pencabar utama di Melbourne di sebalik kecederaan yang dialaminya itu, Nadal membalas: "Kenapa tidak?"

"Anda tidak boleh meramalkannya. Sudah tentu ia sesuatu yang baik jika saya berpeluang untuk beraksi di Abu Dhabi dan Brisbane, tetapi paling penting ialah saya rasa selesa ketika beraksi."

Nadal akan ke Melbourne yang menyaksikannya muncul juara pada 2009 untuk menjalani sebanyak mungkin sesi latihan sebelum saingan Grand Slam pertama membuka tirainya pada Isnin. - AFP

 

169 dibaca
Berita Harian X