Rabu, 2 Januari 2019 | 12:29pm
Roger Federer dan Serena William. - Foto AFP

Federer, Serena hiburkan penonton

PERTH: Roger Federer muncul pemenang pertarungan bersejarah menentang Serena William dalam kempen Piala Hopman, awal pagi tadi.

Namun, pemenang sebenarnya adalah sukan tenis itu sendiri tatkala kedua-dua pemain terhebat era moden berkenaan menghadiahkan peminat seluruh dunia satu perlawanan yang sukar dilupakan.

Beraksi di stadium yang mencatat jumlah kehadiran penyokong tertinggi dalam sejarah tenis, Federer yang berpasangan dengan Belinda Bencic menewaskan gandingan Serena dan Frances Tiafoe 4-2, 4-3(3) bagi memastikan kemenangan 2-1 Switzerland dan melonjak ke persada kumpulan sekali gus meletakkan juara enam kali, Amerika Syarikat di tangga tercorot Kumpulan B.

Federer dan Serena yang menghimpun 43 gelaran Grand Slam antara mereka, masing-masing sebelum itu memenangi acara perseorangan untuk merealisasikan impian bertemu dalam aksi beregu campuran.

Pertembungan itu disifatkan media tempatan sebagai perlawanan membabitkan lelaki dan wanita paling dinantikan sejak pertarungan 1973 yang mana  Billie Jean King menumpaskan Bobby Riggs dalam aksi pertunjukan.

Ketika pertemuan King dan pemain nombor satu dunia lelaki, Riggs adalah pentas membalas dendam, berbeza dengan Federer dan Williams yang menghormati satu sama lain termasuk berselfie sebelum memberikan autograf kepada peminat.

“Ia amat menyeronokkan. Satu penghormatan. Terima kasih kerana merealisasikannya,” kata pemenang 20 gelaran Grand Slam Federer yang bakal mempersiapkan diri untuk memburu gelaran Terbuka Australia bulan ini.

“Saya gugup pada awalnya. Orang ramai selalu bercakap mengenai servisnya dan sekarang saya tahu mengapa mereka memperkatakannya. Servisnya memang kencang dan begitu sukar dibaca.”

"Dia memang juara yang hebat, begitu fokus dan saya mengaguminya.”

Serena pula berkata perlawanan menentang Federer adalah pengalaman hebat buatnya dan berharap ia tidak berakhir sebegitu cepat.

“Saya minta maaf kerana ia berakhir, saya hanya (menganggapnya seperti) pemanas badan. Sangat menarik ketika kami berada di penghujung karier,” kata pemenang 23 gelaran Grand Slam itu.

"Federer pemain terhebat sepanjang zaman. Servisnya yang kencang punca dia menjadi sebegitu. Saya kerap menyaksikannya bermain dan kini saya tahu betapa bagusnya Federer. Mungkin saya boleh dapat ‘tips’ daripada dia selepas ini.”

Juara bertahan Switzerland akan menentang Greece dalam aksi terakhir round-robin esok manakala Amerika Syarikat menentang Great Britain. - AGENSI

Berita Harian X