Selasa, 1 Januari 2019 | 3:42pm
V Shem dan Wee Kiong.

V Shem- Wee Kiong gembira jadi profesional

 

Oleh Fabian Peter

fabian.mark@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Walaupun keadaan mereka masih tidak menentu selepas sah akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menegaskan fokus mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 tidak terjejas.

BAM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan meninggalkan badan induk itu berkuat kuasa Sabtu ini dan akan meneruskan karier mereka sebagai pemain profesional.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan pasangan yang sedang bergelut dengan prestasi itu akan meninggalkan BAM, selepas gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berbuat demikian pertengahan bulan lalu.

Peletakan jawatan V Shem-Wee Kiong bukanlah satu berita yang mengejutkan selepas gandingan berkenaan mempamerkan prestasi buruk sejak dua tahun lalu dan beberapa kali mendapat amaran daripada BAM.

"Kami gembira dengan keputusan untuk keluar menjadi pemain profesional, malah kami masih lagi mewakili negara.

"Namun, kami harus mencari bantuan penajaan untuk membolehkan kami beraksi dalam tempoh dua tahun dan mencapai cita-cita kami untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata V Shem ketika dihubungi hari ini.

V Shem, yang akan mencecah usia 30 tahun 20 Mei depan mendedahkan BAM memberi peluang untuk mereka berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sehingga 5 Januari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan perancangan awal mereka untuk tahun ini, V Shem berkata, setakat hari ini semua berjalan lancar dan mereka akan mengambil bahagian dalam kejohanan di Thailand, Malaysia dan Indonesia Masters bulan ini.

"Kami masih belum mempunyai jurulatih tapi kami akan menyelesaikan semuanya dalam masa terdekat. Sekarang ini tidak ada perkara yang sudah disahkan tapi kami gembira dapat membuat keputusan ini," kata V Shem.

 

634 dibaca
Berita Harian X