Ahad, 23 Disember 2018 | 3:17pm
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyampaikan hadiah kepada pemenang selepas aksi final Liga Badminton Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pencapaian pemain negara sepanjang tahun ini lebih baik berbanding musim lalu.

Ini kerana, katanya, tindakan berani BAM menampilkan lebih ramai pemain muda di peringkat antarabangsa mula membuahkan hasil positif dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada pemain senior.

"Ketika saya menjadi Pengerusi C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan), saya sudah melahirkan pemain di peringkat Olimpik dan kita berjaya meraih tiga pingat perak di Rio (de Janeiro, Brazil pada 2016).

"Untuk berdepan Olimpik seterusnya (Tokyo 2020), kita tidak boleh hanya bergantung kepada pemain lama. Kita mesti bergantung kepada pemain muda, baik untuk saingan Piala Thomas dan kejohanan utama yang lain, kita akan tampilkan muka baharu.

"Pada hujung 2018, kita dapat lihat setiap acara yang disertai, kita memiliki pemain berusia 21 tahun," kata Norza ketika ditemui selepas aksi final Liga Badminton Remaja Kebangsaan Air Asia-BAM di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Antara pemain muda yang mendapat perhatian BAM ialah perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See serta Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran).

Zii Jia, 20, dan Jin Wei, 18, dianggap pemain paling cemerlang musim ini.

Zii Jia muncul juara Terbuka Taiwan dan naib juara Masters Korea manakala Jin Wei mencipta sejarah memenangi emas Olimpik Belia 2018 di Argentina dan muncul juara remaja dunia buat kali kedua, bulan lalu.

Justeru, Norza percaya skuad badminton negara akan membuka tirai kempen 2019 dengan tahap keyakinan lebih tinggi, apatah lagi dengan kembalinya jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei yang dijangka memulakan latihan Januari depan.

Chong Wei masih menunggu 'lampu hijau' doktor untuk kembali ke gelanggang selepas selesai menjalani rawatan kanser hidung yang dialami sejak Julai lalu.

"Berbekalkan prestasi ditunjukkan semua pemain muda kita tahun ini, saya fikir ia akan menjadi permulaan yang lebih baik pada 2019 terutama dengan kelayakan Olimpik akan bermula pada 1 Mei.

"Saya yakin kombinasi pemain lama dan baharu selain kembalinya Chong Wei akan menjadikan skuad negara lebih baik untuk kempen tahun depan," kata Norza.

223 dibaca
Berita Harian X