Rabu, 12 Disember 2018 | 1:26pm

100 pemain terbaik lelaki, wanita sertai Terbuka Australia

MELBOURNE: Seratus pemain terbaik lelaki dan wanita dunia mengesahkan penyertaan di Terbuka Australia 2019 yang akan berlangsung di Melbourne Januari depan.

Pemain nombor satu dunia, Simona Halep dari Romania akan mengetuai cabaran wanita, manakala Novak Djokovic dari Serbia yang memburu gelaran ketujuh Terbuka Australia dalam kategori lelaki.

Serena Williams dari Amerika Syarikat (AS), kini di ranking ke-16 dunia, akan kembali ke Melbourne buat pertama kali sejak menang pada tahun 2017 ketika hamil lapan bulan.

Pemain wanita di tangga ketiga dunia, Caroline Wozniacki juga bakal turun dengan kempen mempertahankan kejuaraan.

Rafael Nadal (Sepanyol) dan Roger Federer (Switzerland) akan kembali ke Melbourne, dan selepas beberapa tahun dibelenggu kecederaan, Andy Murray juga mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu.

Satu-satunya nama besar yang tiada dalam senarai peserta wanita ialah Agniesxka Radwanska dari Poland yang mengumumkan persaraannya baru-baru ini. 

“Ia tempoh menarik dalam kalendar dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran pemain handalan ke Melbourne untuk Terbuka Australia 2019,” kata pengarah kejohanan Craig Tiley.

“Ia cukup istimewa untuk melihat juara-juara bertahan – Caroline (Wozniacki) meraih gelaran Grand Slam pertamanya di sini tahun lalu. Dan sudah tentu Roger Federer mempunyai kenangan istimewa di Melbourne, selepas muncul juara enam kali, sesuatu yang hanya Novak dan Roy Emerson pernah capai.

“Dalam cabaran wanita pula kita menyaksikan kemunculan ramai juara baharu tahun ini. Naomi Osaka memulakan langkah Grand Slamnya di sini, mara hingga ke pusingan keempat sebelum menang di Terbuka AS.

“Dan selepas mara ke final di isini, Simona muncul juara di Roland Garros dan juara Terbuka Australia 2016 Angie Kerber menang di Wimbledon.” – AGENSI

145 dibaca
Berita Harian X