Isnin, 10 Disember 2018 | 4:16pm
JURULATIH beregu lelaki, Cheah Soon Kit. - NSTP/Osman Adnan

Kontrak Soon Kit, 3 jurulatih tak disambung

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan kontrak empat jurulatih yang tamat hujung bulan ini tidak akan disambung.

Mereka ialah jurulatih perseorangan lelaki, Sairul Amar Ayob; jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit; jurulatih perseorangan wanita, Rony Agustinus dan jurulatih beregu wanita, Lim Pek Siah.

Pengurus Besar BAM, Michelle Chai berkata, keempat-empat jurulatih terbabit sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan ia adalah hasil daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), minggu lalu.

"Sebenarnya hanya empat jurulatih dan bukannya lima orang seperti dilaporkan sebelum ini. Semua mereka sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.

"Jurulatih yang masih mempunyai baki cuti tahunan dibenarkan mengambilnya sehingga  kontrak mereka tamat hujung bulan ini. Sebenarnya, tiada jurulatih yang digugurkan sebaliknya hanya tidak disambung kontrak.

"Ini adalah hasil daripada apa yang diputuskan dalam mesyuarat C&T yang mana BAM mahu mengurangkan jumlah pemain dan jurulatih dalam skuad kebangsaan. Terima kasih kepada semua jurulatih yang terbabit di atas khidmat mereka bersama BAM selama ini, semoga mereka maju jaya," kata Michelle ketika dihubungi.

Pengerusi C&T, Datuk Ng Chin Chai minggu lalu, berkata BAM memutuskan untuk mengecilkan skuad kebangsaan sedia ada daripada 60 kepada 48 pemain manakala jurulatih kebangsaan ketika ini seramai 17 orang akan dikurangkan kepada 12.

Bagaimanapun, senarai jurulatih yang masih kekal berkhidmat adalah 13 orang.

Ditanya mengenai senarai pemain yang digugurkan, Michelle berkata perkara itu hanya akan dimuktamadkan pada bulan depan.

Katanya, senarai 12 pemain yang digugurkan itu termasuk lima yang membuat keputusan meletak jawatan sebagai pemain kebangsaan iaitu perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin; Lee Zii Yii (perseorangan wanita) dan Woon Khe Wei, Tan Sueh Jeou serta Goh Yea Ching (beregu wanita).

816 dibaca
Berita Harian X