Khamis, 6 Disember 2018 | 2:08am
TAN Wee Kiong dan Goh V Shem - Foto YAZIT RAZALI

V Shem-Wee Kiong berdepan penyingkiran BAM

KUALA LUMPUR: Goh V Shem-Tan Wee Kiong bakal berdepan risiko disingkirkan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika tidak kembali mempertingkatkan prestasi.

Pasangan regu utama negara itu kini bergelut memulihkan prestasi dan diberi tempoh untuk bangkit sepanjang tempoh empat bulan pertama awal tahun depan atau bakal berdepan penyingkiran.

Ini kerana, BAM sudah memberi pelabagai peluang termasuk memecahkan gandingan itu pada tahun lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, berdepan kritikan selepas gagal memenangi sebarang kejuaraan dalam tempoh dua tahun, serta sentiasa tersingkir awal di mana-mana kejohanan yang disertai tahun ini.

Mereka masih lagi kekal dengan status pasangan nombor satu negara, namun peluang menjadi semakin suntuk buat gandingan itu walaupun masih berada dalam program badan induk itu untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Mereka masih lagi berada dalam perancangan kami bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun kami adalah meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) buat mereka.

"Jika mereka tidak mencapai KPI itu, jadi saya khuatir mereka mungkin tidak akan berada lama dalam BAM," kata Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, selepas mempengurusi Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Selain V Shem-Wee Kiong, dua lagi pasangan dalam skuad kebangsaan ialah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang masih lagi sedang mencari rentak, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan prestasi tidak menentu.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann percaya, V Shem-Wee Kiong masih lagi relevan dan menaruh kepercayaan terhadap pasangan berkenaan.

"Saya percaya mereka mampu untuk kembali pada tahap terbaik. Saya sudah berbincang dengan mereka dan mereka sedar tidak berjaya memberikan persembahan terbaik sejak kebelakangan ini.

“Kami akan bantu mereka dan dalam masa sama mereka perlu sedar apa yang harus dilakukan," kata Choong Hann.

1360 dibaca
Berita Harian X