Selasa, 4 Disember 2018 | 12:39pm
Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (empat kiri) menyerah mockup kunci Bas Scania Auto 3.1 kepada Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria (lima kanan) pada majlis Penyerahan Tajaan Bas oleh Bank Rakyat Kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfield. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

BAM tumpu gilap pemain bukan penganjuran

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak berasa terkilan dengan kalendar kejohanan antarabangsa yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan cukup dengan dua penganjuran antarabangsa, Malaysia Masters serta Terbuka Malaysia.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, selain masalah kewangan, penganjuran kejohanan besar harus selari dengan kekuatan semasa pasukan negara.

"Tugas utama kita bukan menganjurkan kejohanan tapi menyediakan pemain untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kita lebih berminat untuk menggunakan perbelanjaan yang ada untuk kejurulatihan dan latihan berbanding menganjurkan kejohanan," katanya selepas Majlis Penyerahan Bas Tajaan Bank Rakyat hari ini.

Ujarnya, untuk menganjurkan kejohanan besar, dalam masa sama skuad negara juga harus mantap dan ia seperti tidak sesuai jika pemain tidak bersedia beraksi sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Norza enggan mengulas lanjut mengenai prestasi terkini pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

"Saya rasa perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan dan latihan (C&T) esok. Mesyuarat akan diadakan pada jam 11 pagi.

"Seperti mana yang kita tahu Woong Choon Hann adalah Pengarah Kejurulatihan, jadi saya membiarkan mereka untuk melihat dari segi teknikal," kata Norza.

V Shem-Wee Kiong empat kali berturut-turut terkandas di pusingan kedua iaitu di Terbuka China, Terbuka China (Fuzhou), Terbuka Hong Kong dan Korea Masters.

271 dibaca
Berita Harian X