Isnin, 3 Disember 2018 | 7:53pm
DATUK Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia.

Chong Wei mahu Zii Jia teman ke Tokyo

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mengingatkan pemain perseorangan lelaki muda negara, Lee Zii Jia supaya tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian dilakarnya setakat ini.

Sebaliknya jaguh perseorangan negara itu mahu Zii Jia yang berusia 20 tahun terus bekerja keras dan kekal fokus bagi mengharungi saingan yang lebih mencabar tahun depan terutama pusingan kelayakan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula pada 1 Mei.

Chong Wei yang masih menunggu lampu hijau daripada doktor untuk kembali ke gelanggang selepas disahkan bebas daripada kanser hidung, berharap Zii Jia mampu menemaninya layak ke Tokyo.

“Dia perlu terus bekerja keras. Saingan tahun ini sudah habis. Jadi dia perlu fokus dan buat persiapan bagi menghadapi kejohanan tahun depan terutamanya pusingan kelayakan Olimpik yang bermula Mei nanti,” kata Chong Wei.

“Walaupun usianya masih muda, saya harap dia tidak fikir yang dia masih muda. Lebih cepat dia naik, lebih bagus untuk kerjayanya dan saya harap dia boleh layak ke Olimpik.”

Zii Jia kini dilihat di landasan tepat bagi merealisasikan sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melihat dua wakil layak beraksi di Olimpik Tokyo 2020 dalam acara perseorangan lelaki.

Pemain ranking ke-60 dunia itu cemerlang apabila  mara ke final dua kali berturut-turut - Terbuka Taiwan yang menyaksikannya muncul juara, Oktober lalu dan Masters Korea di mana dia tewas kepada pemain nombor enam dunia, Son Wan Ho, semalam.

Berdasarkan prestasi semasanya, dia antara pemain yang dilihat berpotensi untuk layak ke Tokyo bersama Chong Wei.

Chong Wei yang juga pemenang tiga kali pingat perak Olimpik dijangka tidak berdepan masalah besar untuk layak apabila dia djangka kembali menjalani latihan di gelanggang, bulan depan.

Malaysia perlu memastikan dua pemain perseorangan lelaki berada dalam kelompok 16 terbaik sehingga tamat pusingan kelayakan pada April 2020 bagi membolehkan negara mempunyai dua wakil layak ke Tokyo.

“Kalau ikutkan (prestasi semasa) memang Zii Jia sekarang dilihat berpotensi untuk menjadi pemain utama dunia. Namun, yang paling penting adalah dirinya sendiri dan apa yang dia mahukan.

“Jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian sekarang. Pencapaiannya memang baik apabila dua kali ke final dengan  sekali menjadi juara tetapi saya harap dia tidak mudah berpuas hati, perlu terus bekerja keras,” katanya.

Kali terakhir Malaysia mempunyai dua wakil layak perseorangan lelaki layak beraksi pada Olimpik adalah pada 2008 di Beijing yang menyaksikan Chong Wei ditemani Wong Choong Hann.

1032 dibaca
Berita Harian X